Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri dagangan minggu ini dengan ditutup pada paras tertinggi intra hari, mengatasi prestasi bursa serantau dan perkembangan terkini dasar tarif perdagangan Amerika Syarikat yang mendorong sentimen pasaran.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 7.87 mata atau 0.51 peratus untuk ditutup pada 1,556.98 daripada 1,549.11 ketika ditutup pada Khamis.
Indeks penanda aras itu dibuka rendah 0.11 mata kepada 1,549.00 dan mencecah paras terendah harian 1,546.41 ketika sesi pagi, bagaimanapun, ia kembali mengukuh menjelang tengah hari dan seterusnya.
Namun begitu, pasaran secara menyeluruh berada dalam kedudukan negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 541 berbanding 448, manakala 494 kaunter tidak berubah, 1,030 tidak diniagakan dan sembilan digantung.
Jumlah dagangan naik kepada 2.43 bilion unit bernilai RM2.22 bilion daripada 2.21 bilion unit bernilai RM2.35 bilion pada Khamis.
Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata FBM KLCI menutup minggu dagangan dalam kedudukan yang kukuh, berbanding indeks serantau yang kekal suram di tengah-tengah ketidaktentuan makroekonomi global.
"Indeks tempatan kekal bertahan menjelang rehat tengah hari, bagaimanapun, momentum belian yang positif menjadi kukuh selepas itu, disokong oleh peningkatan jangkaan pelonggaran dasar monetari AS.
"Pergerakan ini sejajar gabungan pemangkin dasar domestik serta perubahan dinamik perdagangan global yang terus menyokong sentimen pasaran," katanya kepada Bernama.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut dua sen kepada RM9.61, manakala Public Bank dan Tenaga Nasional masing-masing menokok empat sen kepada RM4.33 dan RM13.80, CIMB naik lapan sen kepada RM6.86, dan IHH meningkat satu sen kepada RM6.96.
Bagi saham paling aktif, Ekovest susut satu sen kepada 39.5 sen, Tanco turun setengah sen kepada 76.5 sen, Top Glove merosot dua sen kepada 59.5 sen, dan TWL tidak berubah pada 2.5 sen, manakala Pharmaniaga naik setengah sen kepada 18 sen.
Di pasaran lebih luas, Indeks FBM Emas naik 35.25 mata kepada 11,601.79, Indeks FBMT 100 menokok 39.25 mata kepada 11,379.91 dan Indeks FBM Emas Shariah naik 28.02 mata kepada 11,634.18.
Indeks FBM ACE turun 24.00 mata kepada 4,606.88 manakala Indeks FBM 70 susut 23.44 mata kepada 16,505.53.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 83.36 mata kepada 17,580.82, Indeks Tenaga naik 2.04 mata kepada 736.72, dan Indeks Perladangan melonjak 77.38 mata kepada 7,426.12, manakala Indeks Perkhidmatan dan Produk Perindustrian turun 0.26 mata kepada 157.76.
Jumlah dagangan Pasaran Utama menokok kepada 1.46 bilion unit pada RM2.04 bilion daripada 1.33 bilion unit bernilai RM2.15 bilion pada Khamis.
Jumlah dagangan waran melonjak kepada 715.60 juta unit bernilai RM890.39 juta daripada 620.69 juta unit bernilai RM97.15 juta sebelum itu.
Jumlah dagangan Pasaran ACE turun kepada 250.96 juta unit bernilai RM92.31 juta daripada 258.67 juta unit bernilai RM99.50 juta semalam.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 272.11 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama; produk dan perkhidmatan perindustrian (205.39 juta), pembinaan (135.62 juta), teknologi (183 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (87.43 juta), hartanah (207.12 juta), perladangan (15.62 juta), REIT (20.36 juta), dana tertutup (2,820 juta), penjagaan kesihatan (139.91 juta), telekomunikasi dan media (32.58 juta), pengangkutan dan logistik (37.10 juta), utiliti (51.69 juta), dan amanah perniagaan (2,300).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial