WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Aktivis Sokong Tindakan Tegas JPJ

08/08/2025 07:42 PM

KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) -- Aktivis Jalan Raya Malaysia menyatakan sokongan penuh terhadap tindakan tegas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melucutkan hak kenderaan syarikat yang menggajikan pemandu warga asing tanpa lesen memandu atau kebenaran bekerja yang sah.

Aktivisnya, Datuk Mohammad Hisham Shafie berkata langkah itu bukan sekadar penguatkuasaan undang-undang, malah memberi mesej jelas bahawa keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab bersama yang tidak boleh dikompromi atau dipolitikkan.

"Keselamatan pengguna jalan raya adalah keutamaan. Majikan yang cuai dan mementingkan keuntungan tanpa menghiraukan undang-undang mesti dikenakan tindakan tegas," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan, tindakan segelintir majikan menggajikan pemandu warga asing tanpa latihan, lesen sah atau pengetahuan undang-undang jalan raya tempatan membahayakan nyawa pengguna lain.

Mohammad Hisham turut menggesa penguatkuasaan berterusan dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), termasuk pemeriksaan menyeluruh terhadap syarikat logistik, pengangkutan awam dan penghantaran barang di seluruh negara.

Beliau berkata aktivis dan NGO pengguna jalan raya akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam menyebarkan kesedaran keselamatan serta menyokong inisiatif bagi memastikan undang-undang dipatuhi demi kesejahteraan rakyat.

Menurut laporan media, JPJ mula melaksanakan tindakan tegas itu semalam terhadap syarikat dan pengendali berlesen yang menggajikan warga asing sebagai pemandu kenderaan dagangan.

Berdasarkan peraturan, warga asing tidak dibenarkan memiliki Lesen Vokasional. Pelanggaran dianggap sebagai kesalahan serius mengikut Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010, yang membolehkan kenderaan disita dan dilucutkan hak jika sabit kesalahan.

Sehingga bulan lepas, JPJ mengeluarkan 2,733 saman terhadap warga asing yang memandu kenderaan dagangan, termasuk 2,551 kes tiada Lesen Kenderaan Barangan (GDL), 93 tiada Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) dan 89 kes membawa muatan berlebihan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan