Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 9 Ogos (Bernama) -- Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail dan isteri, Che' Puan Mahkota Khaleeda Johor menghadiri Perarakan Hari Kebangsaan Singapura (NDP) di Padang pada Sabtu sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan ke-60 republik itu.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut hadir pada sambutan jubli intan itu mewakili kerajaan Malaysia dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas jemputan Kerajaan Singapura.
Turut hadir pemimpin serantau, Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah, dan Presiden Indonesia Prabowo Subianto.
Ini merupakan kali pertama tetamu kehormat asing dijemput menghadiri NDP sejak 2019.
NDP 2025 yang bertemakan “Majulah Singapura” bersempena lagu kebangsaan negara itu dimulakan dengan segmen praperarakan yang menampilkan pasukan payung terjun Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dikenali sebagai Red Lions, yang melakukan terjunan di lokasi bersejarah itu menghiburkan 27,000 penonton.
Mereka disertai penyelam tentera laut dari Tentera Laut Republik Singapura yang muncul di Marina Bay bagi melaksanakan “Lompatan Perpaduan” sulung.
Presiden Tharman Shanmugaratnam dan Perdana Menteri Lawrence Wong tiba di lokasi pada 6.30 petang, secara rasmi memulakan acara.
Segmen perarakan dan upacara menampilkan 40 kontinjen berbaris – jumlah terbesar menyertai NDP di Padang sejak 1990.
Ia dimulakan dengan persembahan ketenteraan yang mengagumkan, termasuk persembahan oleh Pancaragam SAF, Pancaragam Pasukan Polis Singapura, serta persembahan pelajar.
Di ruang udara, Tentera Udara Republik Singapura mempersembahkan penghormatan khas dari udara yang memukau lebih 27,000 penonton.
Segmen Mobile Column, yang kembali ke Padang buat kali pertama sejak 2019, menampilkan gabungan lintas udara, pertunjukan maritim dan perarakan kenderaan melibatkan aset Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Singapura, SAF serta agensi Home Team.
Sebanyak 170 aset mengambil bahagian dalam segmen itu, termasuk penampilan sulung Kenderaan Jurutera Berperisai Hunter dan Radar Pengesan Senjata TPQ-53 milik Tentera Darat Singapura, serta bot tempur bawah air Tentera Laut Republik Singapura.
Sementara itu, segmen persembahan yang terdiri daripada empat babak berinspirasi lagu kebangsaan menampilkan 39 artis tempatan dan lebih 3,000 peserta daripada pelbagai organisasi termasuk legenda rock Datuk Ramli Sarip.
Persembahan tahun ini turut menggunakan pentas tengah 360 darjah yang direka khas - pentas mudah alih terbesar dalam sejarah NDP.
Acara malam itu diakhiri dengan pertunjukan bunga api dan “Majulah Moment” di seluruh negara, ketika Sistem Amaran Awam dibunyikan di beberapa lokasi strategik di seluruh pulau, mengajak seluruh rakyat Singapura bersama-sama melafazkan Ikrar Negara dan menyanyikan lagu kebangsaan, Majulah Singapura.
Sambutan Hari Kebangsaan akan diteruskan pada Ahad di lima lokasi, bagi membawa kemeriahan lebih dekat kepada rakyat Singapura di seluruh pulau.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial