WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Modul Pendidikan Di PUSPEN Ditransformasikan Kepada Modul TVET- TPM Ahmad Zahid

12/08/2025 07:26 PM

DENGKIL, 12 Ogos (Bernama) -- Modul pendidikan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) akan ditransformasikan kepada modul Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang membuka peluang kerjaya profesional untuk klien pusat itu.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata modul pendidikan serta pendekatan baharu diperlukan bagi mengembalikan mereka sebagai insan produktif kepada komuniti selepas tempoh di PUSPEN tamat.

“Sebagai Pengerusi Majlis TVET (MTVET) Negara, saya akan bantu Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan PUSPEN di seluruh negara.

“…kita buat modul baharu supaya apabila mereka tamat latihan di PUSPEN, mereka akan dijamin pekerjaan di dalam bidang yang professional dan mereka akan dapat masa depan yang lebih baik,” katanya berucap selepas lawatan kerja di PUSPEN Dengkil di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dan Ketua Pengarah AADK Datuk Ruslin Jusoh.

Ahmad Zahid menegaskan klien di PUSPEN perlu diberikan latihan high growth high value supaya mereka dapat masuk ke bidang pekerjaan yang baik dan profesional, sesuai dengan pilihan latihan yang mereka ambil di pusat itu.

Bagi klien yang berminat dalam bidang keusahawanan, Ahmad Zahid berkata beliau akan mengadakan perbincangan dengan SME Corp Malaysia (SME Corp) dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bagi penyediaan kursus berkenaan di PUSPEN.

“Insya-Allah, saya juga akan mencari peruntukan untuk menyediakan belanjawan bagi kursus-kursus ini,” katanya.

Ahmad Zahid berkata kerajaan telah membelanjakan lebih RM60 bilion bagi aspek pemulihan, pencegahan dan rawatan terhadap individu terlibat penyalahgunaan dadah.

“Itu satu jumlah yang banyak, cuba bayangkan jika jumlah wang itu digunakan untuk pembangunan sekolah, membina hospital serta aktiviti kesukanan,” katanya.

Beliau juga menyeru semua pihak untuk memainkan peranan membantu klien PUSPEN kembali ke pangkuan keluarga dan masyarakat selain tidak menganggap pusat itu sebagai tempat hukuman.

“Kita tidak boleh membiarkan mereka (klien) terumbang-ambing, saya amat menghargai latihan-latihan yang telah diberikan, sama ada mereka masuk PUSPEN secara sukarela ataupun secara mandatori.

“Visi kerajaan MADANI sekarang ini cukup jelas, kita mahu menangani dan menyantuni setiap rakyat dan tidak ada yang terpinggir termasuk klien PUSPEN,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid menyaksikan penyerahan Gimnasium Transform GYM daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk kegunaan klien dan warga di PUSPEN Dengkil.

Hasil usaha sama itu menjadi simbol kepada semangat kolaborasi erat antara KBS dan KDN dalam usaha pemulihan dadah sekali gus dapat meningkatkan kesejahteraan dan keshatan warga PUSPEN Dengkil.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan