WILAYAH - SABAH > BERITA

Lebih RM1 Juta Untuk Tambah Baik Keperluan Hospital Duchess Of Kent Sandakan

12/08/2025 08:38 PM

SANDAKAN, 12 Ogos (Bernama) -- Kementerian Kesihatan meluluskan RM1.05 juta bagi melaksanakan kerja-kerja kecil dan penambahbaikan Hospital Duchess of Kent di sini.

Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata peruntukan terbabit sebagai menambah keperluan dewan bedah, selain untuk aset perubatan dan bukan perubatan yang diperlukan hospital.

“Peruntukkan ini merupakan permohonan segera yang diperlukan oleh hospital dan pesakit di sini,” katanya kepada pemberita selepas lawatan ke Hospital Duchess of Kent di sini hari ini.

Beliau berkata turut ditambah baik melalui peruntukan terbabit ialah penambahan kerusi untuk ruang menunggu pesakit, serta penggantian tilam dan bantal.

Dalam pada itu Dzulkefly berkata beliau dalam rangka lawatan intensif selama tiga hari bermula hari ini ke 22 fasiliti kesihatan membabitkan enam daerah di Sabah.

“Tadi kita ke Klinik Kesihatan Karamunting dan sekarang di Hospital Duches of Kent di sini, tadi saya mendengar pembentangan baik daripada Pengarah Hospital Duchess of Kent Dr Mohd Fahmie Othman.

“Saya dapat tahu mengenai keperluan dan kekangan fasiliti di hospital ini dan saya komited untuk beri kecukupan,” katanya.

Selain itu, beliau mahu perkhidmatan di klinik kesihatan turut diperkasakan bagi mengurangkan kesesakan di hospital utama seperti Hospital Duchess of Kent, antaranya dengan membawa pembedahan-pembedahan ringan ke klinik kesihatan dengan penglibatan pakar.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan