WILAYAH - SABAH > BERITA

Hubungan Kukuh Kerajaan Negeri-persekutuan Penting Demi Pembangunan Sabah - Hajiji

12/08/2025 08:49 PM

RANAU, 12 Ogos (Bernama) -- Hubungan kukuh antara kerajaan negeri dan Persekutuan amat penting dalam memastikan pembangunan berterusan dapat dilaksanakan di Sabah, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata hubungan erat yang terjalin selama ini menerusi kerajaan GRS-Pakatan Harapan (PH) terbukti membawa kemajuan kepada negeri berkenaan.

“Kita mahu hubungan erat dengan kerajaan Persekutuan. Kita mahu kestabilan dan kita berharap rakyat memahami bahawa kita sedang melakukan yang terbaik dan membawa kemakmuran kepada mereka.

“Kita mempunyai lebih 400 inisiatif di bawah agenda pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya, dan kira-kira 94 peratus daripadanya berjaya dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan selepas majlis pecah tanah Projek Bandar Baharu Paginatan di dewan terbuka Memorial Nunuk Ragang di sini hari ini.

Hajiji berkata kerajaan GRS-PH telah meluluskan pelbagai program bantuan untuk pembangunan pendidikan negeri dan kesejahteraan rakyat, yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana kerajaan negeri sebelum ini.

“Tahun ini sahaja, kita memberi bantuan bulanan sebanyak RM300 kepada hampir 100,000 golongan miskin tegar dan inisiatif ini akan diteruskan jika rakyat mengekalkan mandat kepada GRS-PH pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Hajiji berkata Majlis Tertinggi GRS bersetuju untuk mengekalkan formula kerjasama sedia ada dengan PH bagi berdepan PRN Sabah akan datang.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-16 akan terbubar secara sendiri pada 11 Nov depan sekiranya DUN tidak dibubarkan sebelum tarikh itu.

Sementara itu, Hajiji berkata kerajaan negeri melalui Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar Sabah (LPPB) komited meneruskan agenda menangani masalah kemiskinan bandar dan luar bandar di negeri berkenaan melalui program pembangunan bandar baharu.

Beliau berkata projek Bandar Baharu Paginatan yang telah lama dinantikan dijangka memacu ekonomi tempatan di kawasan itu, selaras dengan pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) yang sentiasa mengutamakan kesejahteraan rakyat.

Bandar baharu seluas 200 ekar terletak kira-kira 43 kilometer dari Ranau akan dibangunkan dalam lima fasa, melibatkan pembinaan pelbagai kemudahan penting termasuk pejabat kerajaan, kedai, perumahan kos rendah, dewan serba guna, perpustakaan, pusat kesihatan, pasar, balai polis dan balai bomba.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan