WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SPRM Tahan Dua Ahli Perniagaan, Pengarah Syarikat Disyaki Kemuka Butiran Palsu

12/08/2025 10:29 PM

KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan dua ahli perniagaan disyaki mengemukakan tuntutan mengandungi butiran palsu bagi pembekalan mesin dan peralatan serta pensijilan bagi Program Bantuan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) bernilai lebih RM3.6 juta.

Menurut sumber SPRM, kedua-dua suspek lelaki dan wanita berusia lingkungan 50-an, ditahan kira-kira 11 pagi tadi ketika hadir di Pejabat SPRM Sabah bagi dirakam keterangan.

“Siasatan awal mendapati kedua-duanya telah mengemukakan dua tuntutan mengandungi butir matan palsu di bawah Program Bantuan IKS kepada Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) pada 2022 dan 2023.

“Satu daripada tuntutan berkenaan ialah bagi pembekalan mesin retort dan peralatan usahawan yang melibatkan nilai lebih RM400,000 dan satu lagi tuntutan ialah perkhidmatan pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI), My Food serta sijil halal melibatkan nilai lebih RM3.2 juta,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 18 dan Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009.

Karunanithy berkata lelaki dan wanita terbabit telah dibebaskan selepas membayar deposit RM1,000 daripada RM10,000 wang jaminan yang dikenakan kepada mereka dan akan dituduh di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kota Kinabalu Khamis ini.

Di SELANGOR, SPRM negeri menahan seorang pengarah syarikat kerana disyaki mengemukakan dokumen yang mengandungi butir matan palsu melibatkan tuntutan perjalanan dan juga pembelian penyaman udara berjumlah kira-kira RM33,000.

Menurut sumber, wanita berusia lingkungan 50-an itu ditahan kira-kira 1 tengah hari tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor.

“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan itu dari 2022 hingga 2023.

“Suspek dipercayai telah mengemukakan dokumen tuntutan perjalanan dan tuntutan pembelian penyaman udara yang jumlah keseluruhannya kira-kira RM33,000 sedangkan kedua-dua perkara tersebut tidak dilaksanakan,” katanya.

Timbalan Pengarah SPRM Selangor Khairul Izwan Karim yang mengesahkan penahanan itu berkata kes disiasat di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan wanita berkenaan akan dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan