WILAYAH - SARAWAK > BERITA

GP Malaysia: SIC Sasar 200,000 Penonton

12/08/2025 11:00 PM

KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Litar Antarabangsa Sepang (SIC) mengekalkan sasaran menarik 200,000 penonton bagi menyaksikan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) Grand Prix (GP) Malaysia 2025 pada 24 hingga 26 Okt ini, meskipun jumlah itu lebih tinggi berbanding edisi tahun lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata pihaknya optimis mencapai angka berkenaan susulan sambutan memberangsangkan setakat ini, dengan 75 peratus tiket sudah terjual.

“GP Malaysia tahun lepas merekodkan kehadiran 184,923 penonton dalam tempoh tiga hari. Tahun ini, kami memperkenalkan beberapa tarikan baharu termasuk festival muzik tarian elektronik (EDM) praperlumbaan yang julung kali diadakan.

“Sasaran 200,000 penonton agak mencabar, namun dengan sokongan semua pihak, kami yakin ia dapat direalisasikan,” katanya pada majlis pelancaran GP Malaysia 2025 di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Mengulas lanjut, Shafriman berkata acara EDM itu akan berlangsung pada 18 dan 19 Okt, manakala RM1 daripada setiap tiket yang dijual akan disalurkan kepada Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN) bagi menyokong pembangunan atlet tempatan.

Katanya SIC turut menawarkan promosi beli satu percuma satu bagi tiket GP Rahmah Malaysia berharga RM49.90 setiap satu, bermula 12 tengah hari tadi hingga 8 malam esok.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan