WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Halaqah Mubaligh ASEAN 2.0 Platform Kongsi Pandangan Kukuh Dakwah Serantau

13/08/2025 12:23 AM

NILAI, 12 Ogos (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar yakin program Halaqah Mubaligh ASEAN 2.0 akan menjadi platform berkesan bagi berkongsi pandangan untuk mengembangkan dakwah Islam serantau dan antarabangsa.

Mohd Na'im juga yakin program berkenaan yang bermula hari ini hingga Khamis mampu menjadi platform bagi menyusun strategi dakwah lebih efektif dalam menghadapi cabaran zaman.

"Saya berharap ia dapat memperkukuh hubungan silaturahim antara mubaligh ASEAN, membahaskan sistem pembinaan potensi mubaligh, serta memperluas jangkauan dakwah di negara serantau ini," katanya berucap pada Majlis Perasmian Program Halaqah Mubaligh ASEAN 2.0 di sini malam ini yang turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee.

Halaqah Mubaligh ASEAN 2.0 merupakan inisiatif strategik anjuran Pertubuhan Ukhwah Da'i Antarabangsa (MUDA) dengan kerjasama JAKIM serta Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) melibatkan 150 penggerak dakwah negara ASEAN termasuk Malaysia.

Sementara itu, Mohd Na'im berkata selepas Malaysia, program itu akan diadakan di Indonesia, Filipina, Thailand dan Kemboja dengan memfokuskan pembangunan ekonomi umat, pendidikan, sosial, media, kemasyarakatan dan pengukuhan rangkaian Muslim.

Dalam pada itu, Sirajuddin berkata penganjuran program ilmu itu diharap dapat mempersiapkan pendakwah dan mubaligh memainkan peranan lebih berkesan untuk membawa perubahan positif kepada ummah. 

Beliau berkata usaha itu adalah sebahagian daripada inisiatif untuk merealisasi Malaysia MADANI, dengan mempromosi nilai kesejahteraan dan hormat melalui penyampaian dakwah secara berhikmah, berstrategi dan berlandaskan nilai rahmah. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan