WILAYAH - TENGAH > BERITA

Cadangan Pemisahan Peranan Peguam Negara, Pendakwa Raya Dibentang Ke Kabinet Hujung Ogos

14/08/2025 02:39 PM

KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Cadangan pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada hujung bulan ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata langkah itu adalah sebahagian daripada pelaksanaan agenda reformasi undang-undang yang dilakukan Kerajaan MADANI hanya dalam tempoh dua tahun setengah ini.

“Pemisahan ini memang dituntut sejak agak lama dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) akan membentangkannya kepada Jemaah Menteri pada akhir bulan ini, jadi kemajuan itu menggalakkan,” kata beliau pada Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Anwar menjawab soalan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang ingin tahu senarai undang-undang yang disifatkan sebagai lapuk yang akan dipinda atau dimansuhkan kerajaan bagi memastikan perkara itu selaras dengan semangat dan prinsip reformasi yang dilaungkan sebelum ini, serta garis masa pelaksanaannya.

Perdana Menteri berkata dalam tempoh pentadbiran itu, Kerajaan MADANI telah melaksanakan 23 reformasi undang-undang termasuk dua pindaan Perlembagaan yang melibatkan warganegara serta Akta Perkhidmatan Parlimen 2025.

Antara reformasi undang-undang melibatkan pindaan Akta Keterangan Saksi Kanak-kanak, penggubalan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023, Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023, Rang Undang-undang (RUU) Ombudsman 2025 dan RUU Jenayah Siber 2025.

“Hal ini saya tegaskan ialah rekod (pencapaian) dua setengah tahun pentadbiran Kerajaan MADANI yang belum dapat ditandingi oleh kerajaan termasuk kerajaan Yang Berhormat (Rosol) sebelum ini,” kata beliau.

Mengulas lanjut, Anwar berkata lima akta baharu dan 34 akta dipinda pada 2023, lima akta baharu dan 57 akta dipinda pada 2024, serta empat akta baharu, enam dipinda, dua rang undang-undang (RUU) baharu dan 11 RUU dipinda setakat ini pada 2025.

Sementara itu, mengenai undang-undang antilompat parti, Anwar berkata beliau tidak mempunyai masalah untuk mencadangkan supaya perundangan itu dilengkapkan.

Anwar berkata ketika menjadi Ketua Pembangkang sebelum ini, beliau telah mengemukakan cadangan berhubung undang-undang itu, namun tidak direalisasikan dalam Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 yang melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti.  

“Walaupun ada tuntutan, ada cadangan baharu, tidak apalah. Tetapi, janganlah kita padamkan bahawa yang menghalang dulu itu Yang Berhormat sebelah sana (pembangkang kini),” kata beliau menjawab soalan tambahan Rosol tentang keperluan untuk meminda akta berkenaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan