WILAYAH - TENGAH > BERITA

Berita-Berita Ringkas Dewan Rakyat: 14 Ogos

14/08/2025 04:52 PM

KAJIAN KEBOLEHLAKSANAAN PROJEK TEMBOK SEMPADAN SARAWAK-KALIMANTAN BERMULA DALAM RMK13

KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Kajian kebolehlaksanaan pembinaan tembok dan jajaran jalan keselamatan sejauh lima kilometer di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) sedia ada di Sarawak akan dimulakan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata projek yang dicadangkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) itu bertujuan memperkukuh kawalan keselamatan di sempadan Sarawak-Kalimantan.

“Projek itu, sebahagian daripada inisiatif Kerajaan MADANI untuk meningkatkan keberkesanan kawalan sempadan negara secara tersusun di samping menutup atau mengurangkan laluan tikus dan laluan haram yang sering digunakan untuk kegiatan penyeludupan serta kemasukan pendatang tanpa izin,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Roy Angau anak Gingkoi (GPS-Lubok Antu) yang ingin tahu apakah terdapat rancangan oleh MKN untuk membangunkan jajaran jalan keselamatan sempadan di sempadan Sarawak-Kalimantan sebagai langkah untuk memperkasakan kawalan keselamatan di kawasan berkenaan.

Pelaksanaan projek itu dijangka memperkukuh keupayaan pemantauan, pencegahan dan tindakan penguatkuasaan di kawasan sempadan secara lebih bersepadu.

-- BERNAMA

 

LEBIH 187,000 INDIVIDU BERJAYA DILEPASKAN DARIPADA KEBANKRAPAN SEJAK 2023

KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI) berjaya melepaskan sebanyak 187,652 orang daripada kebankrapan sejak Mac 2023 hingga Jun 2025, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran.

Beliau berkata jumlah itu turut merangkumi golongan muda berumur 40 tahun, dengan hutang tidak melebihi RM200,000.

“Pencapaian itu sejajar dengan sasaran (Dasar Peluang Kedua) untuk membebaskan 200,000 orang menjelang akhir 2025. Pencapaian berkenaan bukti jelas kesungguhan kerajaan MADANI dalam melaksanakan reformasi yang memberi impak langsung kepada rakyat,” katanya ketika menjawab soalan  Rodziah Ismail (PH-Ampang) pada sesi soal jawab lisan.

Rodziah dalam soalannya meminta Perdana Menteri menyatakan bilangan keseluruhan golongan muda bawah 40 tahun dengan hutang tidak melebihi RM200,000 yang menjadi audiens sasaran dengan perluasan skop Dasar Peluang Kedua dalam Belanjawan 2024, menyasarkan kira-kira 200,000 individu dibebaskan daripada muflis menjelang hujung 2025.

-- BERNAMA

 

MALAYSIA KEKAL PENDIRIAN AUKUS BOLEH GUGAT KEAMANAN, KESTABILAN ASIA TENGGARA - ADLY

KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Malaysia kekal dengan pendirian bahawa pakatan Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat (AUKUS) dikhuatiri boleh mengugat keamanan dan kestabilan rantau Asia Tenggara, terutamanya di Laut China Selatan.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata kementerian itu juga mengambil serius perkembangan pakatan tiga negara itu, khususnya berkaitan rancangan pengoperasian kapal selam berkuasa nuklear di rantau Asia Tenggara termasuk di zon Maritim Malaysia.

“Kerjasama itu dilihat berpotensi mencetus provokasi kepada kuasa-kuasa lain untuk bertindak lebih agresif, seterusnya meningkatkan ketegangan dan risiko silap perhitungan.

“Bagi memastikan AUKUS tidak memberi kesan negatif kepada negara di rantau ini, Kementerian Pertahanan melaksanakan sesi libat urus secara konstruktif dengan negara-negara AUKUS melalui saluran diplomatik serta pertemuan dengan rakan sejawat di platform dua hala dan pelbagai hala,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Adly berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) pada sesi soal jawab, mengenai langkah kementerian memastikan keselamatan maritim dan keseimbangan strategik Malaysia susulan perkembangan AUKUS ingin membawa kapal selam berkuasa nuklear beroperasi di perairan rantau ASEAN, termasuk berhampiran Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan