SEREMBAN, 14 Ogos (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan menahan seorang lagi individu dipercayai terbabit dalam penggunaan geran tanah di Mukim Lenggeng, Seremban yang mengandungi butiran palsu bagi mendapatkan wang hasil jualan tanah berjumlah RM3.8 juta pada September 2022.
Lelaki berusia lingkungan 40-an yang juga ahli perniagaan itu direman tujuh hari sehingga 20 Ogos selepas perintah reman dikeluarkan Majistret Saiful Sayoti di Mahkamah Majistret Jenayah di sini, hari ini, bagi membantu siasatan.
Menurut sumber, suspek ditahan kira-kira 11 malam tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Negeri Sembilan.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai bersubahat dengan seorang lagi suspek utama menggunakan dokumen mengandungi butiran palsu untuk mendapatkan wang hasil jualan tanah tersebut,” katanya.
Penahanan itu adalah susulan lanjutan reman terhadap suspek utama yang juga broker tanah berusia lingkungan 40-an selama tiga hari bermula 12 Ogos.
Pengarah SPRM Negeri Sembilan Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Pada Isnin lepas, media melaporkan SPRM melanjutkan tempoh reman terhadap suspek utama yang ditahan pada 5 Ogos kerana disyaki terbabit dalam kes sama.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial