JOHOR BAHRU, 16 Ogos (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyita 270 kenderaan mewah di seluruh negara, selepas didapati tidak memiliki cukai jalan dan insurans sah menerusi Ops Luxury yang dilaksanakan sejak 1 Julai.
Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata operasi berkenaan dilaksanakan secara berterusan di semua negeri bagi mengambil tindakan terhadap kenderaan mewah yang berada di jalan raya tanpa lesen kenderaan motor (LKM) atau insurans.
“Ops ini adalah satu tindakan tegas terhadap kenderaan mewah yang selama ini berada di jalan raya tetapi tidak membayar cukai jalan dan ada juga tidak membayar insurans.
“Kenderaan akan ditahan dan disita sehingga pemilik menyelesaikan semua tunggakan cukai jalan, insurans dan saman sebelum dibebaskan,” katanya pada sidang media di JPJ Taman Daya di sini, baru-baru ini.
Turut hadir Pengarah Kanan Penguatkuasaan JPJ Muhammad Kifli Ma Hassan dan Pengarah JPJ Johor Azmil Zainal Adnan.
Beliau berkata antara kenderaan ditahan termasuk sebuah Ferrari di Johor Bahru tanpa cukai jalan dan insurans, Lamborghini Huracán dengan cukai jalan bernilai RM12,000 setahun, serta Rolls-Royce di Kuala Lumpur dengan cukai jalan RM29,000 setahun yang belum dibayar.
Menurut Aedy, sepanjang operasi berlangsung selama dua minggu itu, 270 kenderaan telah disita di premis JPJ seluruh negara, termasuk 11 di Johor.
Di Kuala Lumpur, beliau berkata terdapat sembilan kenderaan yang disita dipandu oleh warga asing selain beberapa kenderaan turut didapati dimiliki individu berprofil tinggi seperti ahli perniagaan, selebriti dan pempengaruh.
Beliau berkata terdapat kenderaan disita kerana tidak memperbaharui cukai jalan lebih setahun, malah ada kes di Kuala Lumpur hingga tiga tahun, dengan alasan pemiliknya 'terlupa' untuk memperbaharuinya.
“Ops Luxury ini akan diperluas ke seluruh negara termasuk Perlis, Sabah dan Sarawak. Tindakan ini bukan bersifat sementara dan akan dilaksanakan secara berterusan.
“Kami tidak mahu kenderaan mewah berada di jalan raya tanpa cukai jalan dan insurans kerana risiko kepada orang awam amat besar sekiranya berlaku kemalangan,” katanya.
Aedy berkata saman terhadap pemilik kenderaan telah dibawa ke mahkamah, manakala pemilik yang telah menyelesaikan tunggakan cukai jalan dan insurans dibenarkan mengambil semula kenderaan mereka.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial