WILAYAH - TENGAH > BERITA

Pulau Pangkor Sumbang Lebih RM42 Juta Pendaratan Ikan Bilis Tahun Lepas

17/08/2025 12:46 AM

IPOH, 16 Ogos (Bernama) -- Pulau Pangkor muncul sebagai penyumbang terbesar hasil pendaratan ikan bilis di Perak dengan 2,844.44 tan metrik bernilai RM42.67 juta pada 2024.

Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dalam kenyataan memaklumkan pencapaian itu membuktikan peranan signifikan Pulau Pangkor dalam industri perikanan negara khususnya sektor penangkapan ikan bilis.

“Secara nasional, pendaratan ikan bilis di Malaysia pada 2024 ialah sebanyak 14,589.20 tan metrik bernilai RM164.89 juta dan ia merujuk kepada spesies sama iaitu bilis bunga air, sebagaimana dikategorikan dalam rekod rasmi.

“Antara negeri pengeluar utama ialah Sabah (5,956.17 tan metrik), Perak (2,852.91 tan metrik), Kedah (1,818.98 tan metrik) dan Kelantan (992.65 tan metrik),” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu terdahulu mengadakan lawatan kerja di kawasan perusahaan ikan bilis di pulau berkenaan. 

Pulau Pangkor ketika ini mempunyai 694 vesel berdaftar di pelbagai zon operasi iaitu Zon A (462 vesel), Zon B (44 vesel), Zon C (168 vesel) dan Zon C2 (20 vesel), yang membolehkan aktiviti pendaratan pelbagai spesies ikan dijalankan secara berterusan termasuk ikan bilis.

Selain ikan bilis, statistik turut menunjukkan antara 10 spesies utama didaratkan di Manjung Selatan pada 2024 ialah pelaling, tongkol, tamban sisik, selayang, kembung, cencaru, selar, udang putih serta sotong, dengan keseluruhan pendaratan bernilai RM644.08 juta.

“Pulau Pangkor juga menyumbang kepada sektor akuakultur Perak dengan pengeluaran 7,056.40 tan metrik pada 2024 melibatkan sistem ternakan kolam air payau, sangkar, kerang-kerangan, kolam air tawar, tempat penetasan serta hiasan air tawar di kawasan seluas lebih 1,264 hektar,” menurut kenyataan itu.

 Pulau Pangkor juga kekal sebagai lokasi penting dalam industri perikanan negara dengan kelebihan strategik sebagai pusat pengeluaran ikan bilis berkualiti tinggi yang menjadi penanda aras industri berkenaan. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan