WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Karnival UDA Bersama BizFrancais Pernas Platform Perkukuh Ekosistem Keusahawanan PMKS Sabah

16/08/2025 06:25 PM

PENAMPANG, 16 Ogos (Bernama) -- Penganjuran Karnival UDA bersama Bizfrancais Pernas selama tiga hari berakhir esok di Buhavan Square di sini mampu menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh pembangunan keusahawanan.

Ia sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada usahawan berorientasikan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Sabah untuk meluaskan pasaran produk.

Seramai 70 usahawan BizFrancais Pernas dan usahawan UDA daripada pelbagai latar belakang perniagaan menjadikan karnival itu sebagai platform inklusif dan relevan untuk semua lapisan masyarakat.

Karnival berkenaan membolehkan pengunjung menikmati pelbagai tawaran produk dan perkhidmatan dengan sasaran jualan RM4.25 juta dalam tempoh tiga hari penganjurannya.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata ia selaras dengan aspirasi kementeriannya untuk menyediakan akses pasaran lebih kondusif bagi menyokong pertumbuhan sektor keusahawanan negara merangkumi jaringan strategik serta pemerkasaan jenama ke arah melahirkan usahawan berdaya saing, inovatif dan mampan.

Beliau berkata kerjasama strategik di antara UDA dengan Perbadanan Nasional Bhd (Pernas) mencerminkan sinergi yang baik antara agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dalam usaha memperkasa pembangunan usahawan tempatan yang tidak hanya tertumpu di bandar-bandar utama sebaliknya dibawa terus ke peringkat akar umbi.

"Karnival ini bukan hanya memberi ruang kepada usahawan untuk mengambil bahagian dalam jualan, tetapi paling penting pada saya iaitu agensi-agensi KUSKOP dapat memberikan perkhidmatan kepada usahawan dan bakal usahawan berkaitan perkhidmatan agensi masing-masing," katanya kepada pemberita selepas merasmikan karnival itu di sini, hari ini.

Ewon berkata, KUSKOP antara lain akan memberi tumpuan kepada usaha memperkasa pembangunan sektor francais, PMKS, koperasi dan perusahaan sosial khususnya di Sabah dalam Rancangan Malaysia Ke-13 bagi memperkukuh  sosio ekonomi usahawan negeri itu melalui peluasan potensi perniagaan.

Sementara itu, Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif UDA Holdings Bhd Johari Shukri Jamil dalam ucapannya berkata, kerjasama di antara UDA dengan Pernas selaras dengan pendekatan Strategi Lautan Biru yang menggabungkan sumber, kepakaran dan rangkaian bagi menghasilkan impak lebih besar untuk manfaat usahawan serta komuniti setempat.

Sejak 2022, katanya, Karnival UDA menjadi antara platform utama agensi itu mendekati komuniti dan menyokong usahawan tempatan.

"Tahun ini, kerjasama bersama Pernas melalui program BizFrancais menjadi bukti komitmen bersama memperkukuh rangkaian sokongan kepada para usahawan.

"Program BizFrancais dianjurkan Pernas sejak 2019 bertujuan mempromosikan industri francais serta memberi pendedahan terus kepada peluang-peluang francais di negara ini,” katanya.

Dalam pada itu, Johari berkata, UDA turut bertekad untuk menyokong usaha-usaha KUSKOP dalam memperkukuh ekosistem keusahawanan negara, selari dengan mandat sebagai pemaju hartanah dan penyedia ruang niaga berdaya saing.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan