WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Naik Taraf Pusat Pemeriksaan Woodlands Maksimumkan Potensi JS-SEZ

18/08/2025 12:16 AM

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 17 Ogos (Bernama) -- Pembangunan semula Pusat Pemeriksaan Woodlands, yang akan diperluas lima kali ganda daripada saiz sedia ada, akan meningkatkan kesalinghubungan rentas sempadan dan memaksimumkan potensi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong dalam ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan (NDR) berkata pembangunan semula itu akan memastikan proses pemeriksaan yang lebih cekap dan selamat di samping tempoh menunggu lebih singkat serta kesesakan lalu lintas berkurangan.

“SEZ mempunyai potensi besar untuk kedua-dua pihak memanfaatkan kekuatan yang saling melengkapi dan berkembang bersama. Untuk memaksimumkan potensi ini, kita mesti meningkatkan kesalinghubungan rentas sempadan,” katanya pada Ahad.

Beliau berkata pada masa ini, Tambak Johor merupakan lintasan darat tersibuk di dunia dan sering mengalami kesesakan teruk terutamanya pada hujung minggu dan cuti umum.

Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) sebelum ini mengumumkan bahawa pihaknya akan membangunkan semula dan memperluas Pusat Pemeriksaan Woodlands (WCP) secara berfasa dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang, bagi menyediakan penyelesaian jangka panjang terhadap masalah kesesakan kronik di lintasan darat antara Singapura dan Malaysia.

Di bawah Fasa 1, ICA akan membina bangunan sambungan WCP di Pusat Bandar Woodlands Lama, dengan kerja pembinaan bagi fasa ini dijadual bermula pada suku ketiga 2025.

Sambungan itu antara lain, akan merangkumi kemudahan pelepasan automatik yang baharu untuk kenderaan kargo, serta kereta dan motosikal di laluan masuk.

Sementara itu, Wong berkata Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru–Singapura yang akan terus bersambung dengan Stesen MRT Woodlands North di Singapura, akan menjadikan perjalanan rentas sempadan jauh lebih mudah.

Beliau berkata Singapura juga akan membina ruang industri yang fleksibel di sekitar stesen RTS Link bagi menyokong perniagaan yang mahu memanfaatkan JS-SEZ.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan