WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Dr Sam Terharu Lagu "Saya Anak Malaysia" Terus Segar Jadi Lagu Perpaduan

16/08/2025 11:04 PM

KUALA LUMPUR, 16 Ogos (Bernama) -- Lagu patriotik “Saya Anak Malaysia” terus segar merentasi generasi, apabila rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat masih menghayati lagu itu sebagai lambang kasih dan bangga menjadi warganegara Malaysia.

Penyanyinya Salim Ibrahim, 72, atau lebih dikenali sebagai Dr Sam, mengakui terharu setiap kali melihat rakyat Malaysia bersama-sama mendendangkan lagu itu dengan sepenuh jiwa, apabila mendengar ia dimainkan.

“Syukur pada Allah. Saya terharu melihat bukan orang Melayu sahaja boleh menyanyikan lagu ini, tetapi masyarakat Cina dan India juga akan menyanyi bersama-sama,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau juga masih mengingati suatu ketika dahulu, satu taman perumahan di kediamannya bergema dengan laungan “Saya Anak Malaysia” apabila masyarakat Cina berarak pada 31 Ogos sambil menyanyikan lagu tersebut.

Terdahulu, Dr Sam menjadi penyanyi jemputan di Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya yang dirasmikan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Bahasa Melayu, di sini hari ini.

Dr Sam berkata beliau sebak setiap kali mendengar suara kanak-kanak sekolah dan golongan muda menyanyikan lagu itu, walaupun mereka secara peribadi tidak mengenali beliau sebagai seorang artis.

“Walaupun lagu itu sudah berusia 39 tahun, hingga sekarang orang masih menyanyikannya. Malah budak-budak pun boleh hafal liriknya. Semasa membuat persembahan tadi, pelajar IPG juga ikut menyanyi sehingga saya rasa sangat emosional,” katanya.

Dr Sam mengakui tidak pernah terlintas bahawa lagu digubah komposer tersohor Datuk M. Nasir dengan lirik tulisan S. Amin Shahab pada 1986 itu, akan terus segar sebagai identiti patriotik rakyat Malaysia.

Kenangan paling manis bagi beliau ialah semasa lagu itu pertama kali dipersembahkan di Auditorium Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan seluruh dewan bergema dengan nyanyian penuh semangat menjelang Hari Kebangsaan.

“Satu dewan bergema… saya tak boleh lupa waktu itu,” katanya sambil tersenyum mengingati detik tersebut.

Beliau berkata kekuatan lagu itu terletak pada melodi yang ringkas dan lirik mudah diingati, menjadikan lagu tersebut dekat dengan hati rakyat tanpa mengira usia atau bangsa.

“Bila dengar lagu ini, semua orang rasa mereka sebahagian daripada keluarga besar bernama Malaysia. Ini yang membuatkan saya bangga,” katanya.

Kini, Dr Sam yang memilih untuk menumpukan masa kepada pengajian agama dan dakwah, berharap lagu itu terus menjadi pengikat rasa cinta kepada tanah air dan menjadi jambatan perpaduan antara rakyat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan