WILAYAH - TIMUR > BERITA

MOTAC Saran Lebih Banyak Sekolah Sertai Kelab Pelancongan

18/08/2025 04:55 PM

KUALA BERANG, 18 Ogos (Bernama) -- Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Terengganu menyeru lebih banyak sekolah menyertai Kelab Pelancongan Pelajar (K3P) dalam usaha melahirkan duta kecil pelancongan negeri.

Pengarahnya Mazshida Ruslal berkata kira-kira 180 pelajar dari enam sekolah menengah di negeri ini telah berdaftar sebagai ahli K3P tahun ini.

Beliau berkata selain pendedahan awal mengenai kepentingan industri pelancongan, pelajar juga didedahkan dengan aktiviti dan kerja-kerja sukarela.

"Pendaftaran K3P terbuka kepada sekolah menengah dengan sekurang-kurangnya 30 pelajar di sesebuah sekolah yang berminat menyertai ahli secara sukarela. 

"Cuma isu sekarang ini ialah kebanyakan sekolah fokus kepada bidang lain seperti kelab sukan. Tidak ada guru berminat untuk membimbing dalam bidang pelancongan. Jadi kebanyakan sekolah tak dapat nak kumpulkan 30 pelajar...tak dapatlah nak tubuhkan K3P," katanya pada Program Rimba Explorers K3P di Zoo Rimba Razia, Kampung Dusun, di sini hari ini.

Mazshida berkata selain melahirkan duta kecil yang boleh memberikan penerangan mengenai produk pelancongan negeri, penubuhan K3P di sekolah juga mampu meningkatkan kesedaran pelajar tentang prospek kerjaya dalam bidang berkenaan.

Beliau berkata ketika ini pihak kementerian sedang berusaha menambah baik dan memperkasakan modul K3P bagi melahirkan duta kecil pelajar yang lebih baik dan berkualiti sempena Tahun Melawat Malaysia  2026.

"Kita harap tahun hadapan lebih banyak sekolah berdaftar sebagai K3P di Terengganu. Sepanjang tahun ini pelbagai program kita jalankan termasuk kesenian, kraf tangan, penanaman pokok, zoo haiwan jinak dan sebagainya," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan