WILAYAH - TIMUR > BERITA

DOF Agih Tujuh Bot Peronda Kepada Lima Negeri

18/08/2025 05:45 PM

MARANG, 18 Ogos (Bernama) -- Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) mengagihkan sebanyak tujuh bot peronda baharu kepada lima negeri, hari ini.

Ketua pengarahnya Datuk Adnan Hussain berkata bot sepanjang 13 meter (m) yang bernilai keseluruhan sebanyak RM13 juta itu akan ditempatkan di lima pangkalan operasi bagi kerja-kerja penguatkuasaan konservasi sumber perikanan negara.

Beliau berkata dengan bot berkenaan, kerja-kerja penguatkuasaan dapat ditingkatkan sekali gus mengukuh aspek pematuhan undang-undang perikanan demi kepentingan biodiversiti marin.

"Perak dan Selangor menerima dua bot, manakala Perlis, Kedah dan Terengganu masing-masing diberi sebuah bot.

"Penyerahan bot peronda mampu meningkatkan keupayaan penguatkuasaan konservasi selain memantau kawasan perairan bagi memastikan habitat marin dilindungi,” katanya selepas Program Melabuh Tukun Tiruan Kuboid Juvenil Penghalang Pukat Tunda (Rekreasi) di perairan Jambu Bongkok di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu Datuk Dr Azman Ibrahim.

Sebanyak 18 unit tukun dilabuhkan pada program itu sebagai habitat baharu dan nurseri ikan sekali gus membolehkan aktiviti pancing rekreasi dijalankan secara terkawal.

Adnan berkata sepanjang tempoh lima tahun bermula 2021, sebanyak 1,174 tukun tiruan dilabuhkan di seluruh negara melibatkan perbelanjaan sebanyak RM20 juta.

"Kajian DOF mendapati pelaburan dalam tukun tiruan berdaya maju dari segi ekonomi kerana memberi pulangan lebih tiga kali ganda berbanding kos pembinaannya," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan