WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kementerian Perpaduan Mohon RM250 Juta Dalam Belanjawan 2026 Laksana Lima Inisiatif  

18/08/2025 08:50 PM

KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Kementerian Perpaduan Negara memohon peruntukan berjumlah RM250 juta dalam Belanjawan 2026 bagi melaksanakan lima inisiatif memperkukuh keharmonian masyarakat serta memperkasa komuniti.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata lima inisiatif itu adalah Perpaduan dan Identiti Nasional melibatkan peruntukan RM100 juta bagi melaksanakan program di bawah flagship Kembara Perpaduan bagi pengukuhan agenda Pembinaan Negara Bangsa.

“Bagi (inisiatif) Keharmonian dan Kesejahteraan Komuniti melibatkan (peruntukan) RM100 juta pula bertujuan mengukuhkan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Progresif dengan meremajakan Skim Rondaan Sukarela, pemerkasaan Mediator Komuniti serta Inisiatif Harmoni MADANI.

“Di bawah inisiatif ‘Ini Warisan Kita’ (peruntukan) RM10 juta adalah bagi pemerolehan bahan sejarah serta khazanah warisan negara untuk dipelihara dan diwarisi generasi akan datang, manakala (inisiatif) Transformasi Pendigitalan (dengan peruntukan) RM20 juta adalah bagi pendigitalan khazanah warisan negara merangkumi muzium, arkib dan perpustakaan agar lebih mudah diakses masyarakat,” katanya.

Aaron berkata demikian ketika berucap pada Sesi Dialog Belanjawan 2026 KPN di sini hari ini.

Beliau berkata bagi inisiatif Premis Perpaduan Kondusif dengan peruntukan RM20 juta, ia bertujuan menambah baik fasiliti dan kemudahan agensi-agensi di bawah Kementerian Perpaduan demi kesejahteraan rakyat.

“Tahun lepas peruntukan yang kita mohon RM290 juta tetapi kita peroleh RM90 juta dan untuk tahun hadapan, kita mohon RM250 juta dan diharapkan ia dipertimbangkan kerana banyak aktiviti lagi yang ingin kita lakukan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Aaron turut berharap agar Kementerian Kewangan dan Lembaga Hasil Dalam Negeri mempertimbangkan penyediaan insentif pengecualian cukai kepada syarikat yang menyumbang secara langsung kepada program atau aktiviti perpaduan di peringkat komuniti.

“Kita tahu, di Malaysia ini banyak syarikat besar boleh membantu kita beri dana untuk aktiviti tapi mereka ini, apa sahaja duit yang mereka beri, mereka akan minta pelepasan cukai di bawah tanggungjawab sosial,” katanya.

Sesi dialog hari ini melibatkan agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), KRT, persatuan dan pelajar institusi pendidikan tinggi (IPT) bagi membincangkan keperluan, cadangan serta keutamaan berkaitan Belanjawan 2026 supaya dokumen kementerian itu lebih terangkum dan menyeluruh.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan