KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Kemeriahan kibaran Jalur Gemilang di sekitar ibu negara sebagai manifestasi kebanggaan rakyat Malaysia untuk menyambut Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025 turut menarik perhatian pelancong asing.
Seorang pembangun perisian dari Jerman, Anna Becker, 36, berkata semasa tiba di Kuala Lumpur, beliau memang hairan melihat begitu banyak bendera dipasang di sepanjang jalan raya dan bangunan-bangunan di sekitar ibu negara.
“Pada mulanya, saya tertanya-tanya juga, mengapa terlalu banyak bendera tetapi setelah diberitahu, baru saya faham, Malaysia akan sambut Hari Kebangsaan. Suasana ini memang unik,” katanya kepada Bernama.
Seorang pegawai bank dari Melbourne, Australia, James Carter, 46, yang turut teruja melihat Jalur Gemilang menghiasi jalan-jalan utama sekitar ibu negara berkata kibaran bendera itu seolah-olah menyambut mesra kedatangannya ke Kuala Lumpur.
“Bendera yang dipasang membuatkan pelawat seperti saya turut merasai perasaan gembira rakyat Malaysia untuk meraikan Hari Kebangsaan,” katanya.
Pelancong dari Korea Selatan yang hanya mahu dikenali sebagai Seo Yeon, 28, berkata suasana di sekitar Kuala Lumpur itu memang mengujakan, namun tidak berkesempatan menyaksikan perarakan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos nanti kerana hari cutinya tidak sampai ke tarikh itu.
“Bila berada di Malaysia dan menyaksikan kemeriahan sebelum sambutan yang sebenar, membuatkan saya berharap dapat tinggal lebih lama di sini untuk merasainya sendiri.
“Saya pernah menonton video perarakan Hari Kebangsaan Malaysia di media sosial yang meriah dengan perbarisan dan juga kehadiran orang ramai,” katanya.
Sementara itu, seorang jurutera dari England, Daniel Hughes, 34, berkata kibaran Jalur Gemilang di setiap sudut Kuala Lumpur akan kekal menjadi memori indah buatnya.
“Anda dapat lihat bendera Malaysia di mana-mana, temasuklah di gerai tepi jalan mahupun kenderaan awam.
“Pada waktu malam, Menara Berkembar Petronas juga diterangi dengan sinaran warna bendera Malaysia. Saya boleh merasakan semangat rakyat Malaysia untuk menyambut Hari Kebangsaan ke mana sahaja saya pergi,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial