WILAYAH - UTARA > BERITA

Sultan Nazrin Berangkat Ke Program Melabuh Tukun Pulau Sembilan

19/08/2025 05:37 PM

LUMUT, 19 Ogos (Bernama) -- Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke Program Melabuh Tukun x Konservasi Pulau Sembilan 2025 di Taman Negeri Pulau Sembilan.

Turut berangkat Raja Di Hilir Perak Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.

Hadir sama mengiringi keberangkatan tiba baginda Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.

Baginda berdua berkenan menyaksikan pelabuhan tukun tiruan tersebut oleh pasukan Jabatan Perikanan Negeri Perak di Pulau Rumbia, Kepulauan Sembilan.

Sebanyak 12 tukun tiruan diturunkan yang turut berfungsi sebagai penghalang pukat tunda di kepulauan berkenaan. 

Tukun tiruan ialah struktur buatan manusia yang diletakkan di dasar laut atau perairan bertujuan untuk menarik hidupan marin, memulihkan ekosistem marin dan menyokong aktiviti perikanan dan pelancongan seperti memancing rekreasi dan selam skuba.

Dari 2014 sehingga 2024, sebanyak 81 tukun tiruan telah dilabuhkan oleh Jabatan Perikanan Negeri Perak di Pulau Pangkor, Perairan Rungkup dan Kepulauan Sembilan. 

Di Kepulauan Sembilan, tukun-tukun yang dilabuhkan mempunyai tujuan tambahan iaitu menghalang aktiviti pukat tunda di kawasan yang tidak dibenarkan.

Turut diadakan aktiviti pembersihan pukat hantu bermula semalam yang merupakan inisiatif konservasi utama dianjurkan Perbadanan Taman Negeri Perak melibatkan penyelam daripada Tentera Laut DiRaja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan badan bukan kerajaan (NGO) Nature and Oceanography Advocate Society (NOAS).

Dianggarkan seberat lima tan pukat hantu berjaya dibersihkan di sekitar kepulauan itu sepanjang tahun 2022 sehingga kini hasil usaha pelbagai pihak dan agensi.

Sementara itu, Sultan Nazrin dan Tuanku Zara turut berkenan melawat reruai yang mempamerkan hasil pengumpulan pukat hantu di kepulauan berkenaan.

Baginda berdua kemudian menyempurnakan penanaman pokok ambong-ambong bagi menggalakkan pendaratan penyu di Taman Negeri Pulau Sembilan. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan