Oleh Shakir Husain
NEW DELHI, 19 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri India Narendra Modi pada Selasa menerima kunjungan Menteri Luar China Wang Yi di New Delhi dan memuji penambahbaikan dalam hubungan dua hala kedua-dua negara.
Diplomat tertinggi China itu tiba di India pada Isnin untuk lawatan dua hari ketika kedua-dua negara terus berusaha membina semula kepercayaan di tengah-tengah pertikaian mengenai sempadan antara kedua-dua negara.
“Gembira dapat bertemu Menteri Luar Wang Yi. Sejak pertemuan saya dengan Presiden Xi (Jinping) di Kazan tahun lepas, hubungan India-China menunjukkan kemajuan yang berterusan berlandaskan rasa hormat terhadap kepentingan dan sensitiviti masing-masing,” kata Modi menerusi hantaran di platform X.
Perdana Menteri India dijadual menghadiri Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) di China dari 31 Ogos hingga 1 Sept, selain mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden China.
“Saya menantikan pertemuan seterusnya di Tianjin di luar Sidang Kemuncak SCO. Hubungan India-China yang stabil, boleh dijangka dan konstruktif akan menyumbang secara signifikan kepada keamanan serta kemakmuran serantau dan global,” kata Modi.
Sementara itu, perbincangan Wang bersama rakan sejawatnya dari India Subrahmanyam Jaishankar dan Penasihat Keselamatan Negara Ajit Doval sebelum ini merangkumi isu-isu utama dua hala, termasuk usaha mengurangkan ketegangan dalam pertikaian sempadan serta kebimbangan India terhadap pembinaan empangan mega China di Sungai Yarlung Tsangpo (Brahmaputra di India).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial