WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Bekas Presiden Colombia Uribe Dibebaskan Daripada Tahanan Rumah

20/08/2025 02:45 PM

RIO DE JANEIRO, 20 Ogos (Bernama-dpa) -- Sebuah mahkamah di Bogota pada Selasa membatalkan tahanan rumah terhadap bekas Presiden Colombia Alvaro Uribe sementara proses rayuan terhadap hukuman penjara 12 tahun kerana mengganggu saksi dan penipuan prosedur masih berjalan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Tribunal Tinggi di Bogota membatalkan perintah 1 Ogos yang meletakkan Uribe di bawah tahanan rumah di kediaman luar bandarnya sehingga keputusan dibuat terhadap rayuan tersebut.

Mahkamah Bogota mengarahkan pembebasan segera bekas presiden itu, menurut satu dokumen yang disiarkan media tempatan.

Mahkamah rayuan mempunyai tempoh sehingga pertengahan Oktober untuk mengeluarkan keputusan. Kes itu berisiko menjadi luput tempoh menurut undang-undang Colombia sekiranya tarikh akhir tidak dipenuhi.

Bekas presiden itu telah disabit bersalah atas pertuduhan rasuah dan mengganggu saksi. Satu pertuduhan berasingan iaitu rasuah kecil digugurkan.

Kes berkenaan berpunca daripada prosiding yang dimulakan Uribe sendiri lebih sedekad lalu terhadap senator berhaluan kiri Ivan Cepeda, yang menyiasat dakwaan kaitan Uribe dengan kumpulan paramilitari.

Namun keadaan berubah pada 2018 apabila Uribe dituduh telah menekan bekas banduan paramilitari supaya memberi keterangan yang meringankan dirinya.

Prosiding itu berulang kali tertangguh, dan pertuduhan akhirnya difailkan terhadapnya pada 2024.

Uribe, seorang konservatif yang berkhidmat sebagai presiden dari 2002 hingga 2010, kekal sebagai tokoh yang memecah-belahkan di Colombia.

Penyokong melihatnya sebagai pembela tegas keselamatan negara ketika tempoh konflik sengit dengan kumpulan gerila berhaluan kiri. Namun pengkritik menuduhnya melakukan pelanggaran hak asasi manusia dan mempunyai hubungan rapat dengan pasukan paramilitari.

Konflik dalaman Colombia selama berdekad-dekad antara pasukan kerajaan, gerila dan paramilitari berhaluan kanan telah mengorbankan kira-kira 220,000 nyawa serta memaksa jutaan orang menjadi pelarian.

-- BERNAMA-dpa


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan