WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kenaikan Tarif Air Di Kedah Tidak Bebankan Pengguna - MB Kedah

20/08/2025 08:56 PM

ALOR SETAR, 20 Ogos (Bernama) -- Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata kenaikan kadar tarif air yang berkuat kuasa mulai 1 Ogos lepas tidak akan membebankan rakyat Kedah.

Beliau berkata kenaikan kadar tarif kepada 81 sen (0 meter padu dan hingga 20 meter padu) bagi kegunaan domestik adalah jauh lebih rendah berbanding negeri lain.

Muhammad Sanusi berkata kenaikan itu adalah langkah penting untuk memastikan kemampuan Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) membayar hutang air kerajaan negeri.

“Kenaikan tarif ini bukan Kedah sahaja berlaku… yang mohon (kenaikan tarif air) ni semua mohon, 10 operator bekalan air minta dan semua dibenarkan,” katanya ketika sesi pertanyaan lisan pada persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Bau Wong a/l Bau Ek (PH-Sidam) yang ingin tahu keperluan tarif air di Kedah dinaikkan sedangkan SADA mencatat keuntungan.

Muhammad Sanusi, yang juga Pengerusi SADA, berkata syarikat itu perlu mencatatkan keuntungan bagi membolehkan ia membayar hutang berkaitan bekalan air.

Beliau berkata berdasarkan rekod SADA, syarikat itu mencatatkan keuntungan selepas cukai antara RM31,000 hingga RM23.1 juta antara 2010 hingga 2018 sebelum mencatatkan kerugian sebanyak RM36 juta pada 2019.

“Pada 2020, SADA kembali mencatatkan keuntungan sebanyak RM149,000 dan meningkat kepada RM29.5 juta pada tahun berikutnya, RM29.4 juta (2022), RM25.2 juta (2023), RM41.5 juta (2024) dan diunjurkan mencatatkan keuntungan sebanyak RM80 juta pada tahun ini,” katanya.

Muhammad Sanusi juga berkata kuasa eksekutif berkaitan bekalan air bersih terletak di bawah Kerajaan Persekutuan melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sebagaimana diperuntuk di bawah Seksyen 3 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.

“SPAN keluarkan lesen, semua pelan perniagaan operator air dikawal oleh SPAN, kalau SPAN mendapati pelan perniagaan, bil caj dan pendapatan tidak mampu untuk tampung bayaran hutang maka SPAN boleh ambil alih dengan kuasa eksekutif tadi, “ katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan