WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Pesawat F/A-18D Hornet TUDM Terlibat Kemalangan Di Pangkalan Udara Kuantan

22/08/2025 12:59 AM

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Sebuah pesawat tempur F/A-18D Hornet milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terlibat dalam satu insiden kemalangan di kawasan landasan Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah (Pangkalan Udara Kuantan) pada 9.05 malam ini.

Menurut kenyataan TUDM, pihaknya kini sedang mengambil tindakan segera dan akan memaklumkan perkembangan semasa berhubung kejadian berkenaan.

“Semua pihak diminta supaya tidak menyebarkan sebarang spekulasi atau berita yang tidak sahih,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman yang mengesahkan insiden kemalangan berkenaan berkata seorang juruterbang serta pembantu juruterbang TUDM dilaporkan selamat.

Beliau berkata insiden berkenaan berlaku ketika pesawat hendak berlepas dari landasan.

“Polis sahkan kejadian berkenaan dan juruterbang serta pembantu juruterbang dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk pemeriksaan lanjut,” katanya ketika dihubungi Bernama. 

Dalam pada itu, rakaman video dikongsi orang awam di media sosial menunjukkan enjin pesawat terbabit mengalami kebakaran ketika berlepas.

TUDM memiliki lapan pesawat tempur pelbagai peranan (MRCA) dua enjin F/A-18D Hornet yang dibeli daripada McDonnell Douglas (kini Boeing) dan diterima pada 1997.

--  BERNAMA

 

 



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan