WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Malaysia Seru Penyelarasan Berterusan Dalam Proses Keamanan Bangsamoro

20/08/2025 09:27 PM

MANILA, 20 Ogos (Bernama-PNA) -- Malaysia menyuarakan harapan agar penyelarasan berterusan dapat dikekalkan antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) selepas kumpulan itu menggantung pelucutan senjata peringkat terakhir pejuangnya, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).

“Saya berharap semua pihak akan terus bekerjasama.

“Ini adalah sesuatu yang perlu diselesaikan sendiri oleh pihak terlibat.. Kita mahu semua pihak bersatu, itu yang paling penting,” kata Duta Besar Malaysia ke Filipina, Abdul Malik Melvin Castelino kepada pemberita di Taguig City pada Selasa ketika diminta mengulas perkembangan terbaharu proses keamanan Bangsamoro.

Menerusi satu memorandum bertarikh 16 Ogos, Pengerusi MILF, Alhadj Murad Ebrahim mengarahkan semua komander dan anggota supaya tidak menyertai sebarang aktiviti pelucutan senjata atau normalisasi kerajaan “tanpa kelulusan bertulis terlebih dahulu” daripada pihak MILF.

Arahan itu dikeluarkan susulan resolusi Jawatankuasa Pusat MILF pada 19 Julai yang menggantung sementara pelaksanaan fasa keempat dan terakhir proses pelucutan senjata.

Berdasarkan Perjanjian Komprehensif mengenai Bangsamoro (CAB), MILF dijadualkan menjalani proses pelucutan senjata secara berfasa — 10 peratus pada Fasa 1, 30 peratus pada Fasa 2, 35 peratus pada Fasa 3 dan selebihnya pada Fasa 4.

Malaysia memainkan peranan penting dalam rundingan itu dengan bertindak sebagai pemudah cara, menyediakan tempat berkecuali untuk perbincangan serta mendokumentasikan komitmen dan persetujuan yang dicapai.

-- BERNAMA-PNA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan