KUALA NERUS, 21 Ogos (Bernama) -- Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC) Badrul Afzan Razali mahu anak buahnya bangkit melupakan kekalahan 1-2 di tangan Imigresen FC pada aksi pertama pusingan 16 Piala FA, Ahad lepas.
Sebaliknya, pengendali berusia 49 tahun itu mahu pemain kembali fokus bagi mengutip tiga mata pada perlawanan ke tiga Liga Super menentang DPMM FC di Stadium Nasional Hassanal Bolkiah, Brunei malam esok.
Badrul Afzan berkata walaupun DPMM FC merupakan pendatang baharu dalam Liga Malaysia (Liga M), cabarannya tidak boleh dipandang ringan dan diambil mudah oleh skuad Penyu.
"DPMM FC bukan calang-calang pasukan. Kita tak boleh ambil mudah dan pergi dengan satu misi untuk menang.
"Setakat ini yang cedera hanya seorang iaitu Gabi (Gabriel Da Costa). Ubai (Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili) ada sedikit kecederaan, tetapi masih boleh bermain," katanya ketika dihubungi hari ini.
Badrul Afzan berkata susulan prestasi yang kurang memberangsangkan dalam dua perlawanan sebelum ini, beliau akan melakukan rombakan kecil di bahagian serangan dan pertahanan.
Beliau berkata antara kelemahan yang ketara ialah ketumpulan penyudah dan pemain mudah hilang fokus apabila menghadapi tekanan.
"Kita tewas dalam perlawanan Piala FA tempoh hari, tetapi untuk Liga Super kita menang satu dan seri satu. Mungkin jangkaan penyokong terlalu tinggi..tetapi insya-Allah kita akan buat terbaik," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial