WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Maybank IB Untuk Penurunan Lagi Kadar Bank Indonesia Susulan Kekukuhan Rupiah

21/08/2025 08:18 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 21 Ogos (Bernama) -- Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) menjangka Bank Indonesia (BI) mengurangkan kadar faedahnya sebanyak 50 mata asas lagi kepada 4.5 peratus menjelang akhir 2025, dan kepada 4.0 peratus pada 2026 di tengah-tengah peningkatan sokongan terhadap rupiah.

Bank pelaburan itu berkata dolar AS yang lebih rendah akan memberikan lebih banyak ruang kepada bank pusat untuk melonggarkan dasar monetarinya.  

"Dalam pada itu BI akan terus menilai keadaan pasaran pertukaran asing menjelang setiap mesyuarat dasar, untuk menentukan keputusan dasar monetarinya," kata Maybank IB dalam nota penyelidikannya hari ini.

Menurut bank itu, BI dijangka memberi lebih tumpuan untuk meningkatkan pemindahan penurunan kadar kepada kadar pinjaman dengan menyokong kecairan pasaran.

Pada Rabu, BI mengurangkan kadar penanda arasnya sebanyak 25 mata asas  kepada 5.0 peratus, penurunan keempat tahun ini, sejajar dengan unjuran tidak konsensus Maybank IB sebelum ini.

Setakat ini bagi tahun ini bank pusat itu telah menurunkan kadar dasarnya sebanyak 100 mata asas. 

Gabenor BI Perry Warjiyo berkata langkah itu sejajar dengan kestabilan rupiah, prospek inflasi, dan keperluan untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi.

Menurut Maybank IB, BI menjangkakan inflasi keseluruhan kekal dalam julat sasaran 2025 iaitu 1.5 hingga 3.5 peratus dengan inflasi Julai pada 2.4 peratus.

Mengenai pertumbuhan, bank pusat mengunjurkan ekonomi berkembang "sekitar 5.1 peratus atau lebih tinggi" tahun ini, disokong oleh eksport yang lebih kukuh, peningkatan perbelanjaan kerajaan dan aktiviti pelaburan.

BI juga menjangkakan rupiah kekal "stabil dengan kecenderungan mengukuh", disokong oleh langkah penstabilan mata wangnya dan aliran masuk modal asing yang mampan.

Rupiah meningkat 1.3 peratus berbanding dolar AS sejak akhir Julai, manakala rizab pertukaran asing berjumlah US$152 bilion pada akhir Julai.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan