WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Prinsip ESG Relevan Untuk Pacu Ekonomi Hijau Di Sebalik Ketidaktentuan Global

21/08/2025 02:42 PM

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) kekal relevan dan penting bukan sahaja untuk menyelamatkan planet ini tetapi juga untuk memacu peralihan ke arah dunia yang lebih hijau dan ekonomi hijau.

Presiden ASEAN Economic Club Tan Sri Michael Yeoh berkata amalan ESG kekal menjadi penting di sebalik ketidaktentuan global dan keraguan mengenai masa depan ESG.

"ASEAN harus tegas dan komited kepada matlamat dan prinsip ESG," katanya ketika berucap pada Forum Kepimpinan ESG ASEAN di sini hari ini.

Forum itu berperanan sebagai platform yang menghimpunkan pemimpin C-suite, eksekutif, pengamal ESG dan pakar industri untuk membentuk masa depan ESG dalam landskap global yang berkembang pesat.

Ia juga bertujuan untuk menyokong syarikat dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam memasukkan ESG ke dalam strategi perniagaan teras, membolehkan untuk meraih keuntungan dan didorong oleh tujuan.

Sementara itu, Presiden Persatuan ESG Malaysia (ESGAM) Profesor Adjung Cheah Kok Hoong dalam ucapannya berkata kerjasama merentasi kerajaan, industri dan komuniti adalah penting untuk memastikan matlamat ESG dapat dicapai dengan cara yang bermakna.

Beliau juga berkata ESG boleh menjadi pemboleh dan “talian hayat” (penyelamat) untuk PKS, tulang belakang ekonomi ASEAN.

“Dengan mengamalkan amalan ESG, PKS boleh meningkatkan daya tahan, membina kepercayaan dengan pihak berkepentingan dan seiring dengan rantaian bekalan global yang semakin memerlukan amalan mampan.

"Penyahkarbonan, kredit karbon dan kewangan iklim bukanlah konsep abstrak. Ia adalah laluan sebenar untuk memastikan daya saing dalam ekonomi global rendah karbon," katanya.

Cheah berkata syarikat yang bertindak awal bukan sahaja akan memenuhi keperluan kawal selia, ia juga akan mendapat akses kepada pasaran baharu, peluang pembiayaan dan perkongsian.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan