WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Dewan Rakyat Lulus Rancangan Malaysia Ke-13

21/08/2025 07:06 PM

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), yang merupakan rancangan serta hala tuju pembangunan negara untuk tempoh 2026 hingga 2030.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Alice Lau Kiong Yieng berkata usul itu diluluskan selepas lebih suara bersetuju berbanding tidak bersetuju.

Terdahulu, usul RMK13 itu dibahaskan selama lapan hari bermula 4 Ogos oleh 161 Ahli Parlimen, disusuli dengan penggulungan menteri setiap kementerian selama empat hari sejak Isnin lepas.

Persidangan hari ini menyaksikan enam lagi kementerian meneruskan penggulungan perbahasan RMK13 termasuk Kementerian Kesihatan, Kementerian Digital dan Kementerian Ekonomi sebagai kementerian terakhir.

Antara isu dibangkitkan Ahli Parlimen pada sesi perbahasan ialah pendekatan fleksibel dan berteraskan pilihan berhubung cadangan pembayaran pencen secara bulanan menerusi simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), penggubalan dasar baharu dan memperkukuh struktur pendidikan serta dasar ekonomi kreatif negara atau ekonomi jingga.

Pada 31 Julai lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan membentangkan RMK13 bertemakan “Melakar Semula Pembangunan” yang menetapkan hala tuju peralihan strategik Malaysia ke arah sistem ekonomi, sosial dan tadbir urus negara secara menyeluruh berpaksikan falsafah dasar keterangkuman, kemampanan dan daya tahan dalam kerangka Ekonomi MADANI.

RMK13 memperincikan perancangan lima tahun Malaysia menerusi pendekatan pembangunan berasaskan tiga teras utama iaitu menaikkan siling (pertumbuhan ekonomi), menaikkan lantai (kehidupan rakyat) dan memperkukuh tatakelola (pentadbiran berkesan).

Menerusi empat tonggak dengan 27 keutamaan dan disokong lebih 100 strategi pelaksanaan, RMK13 menampilkan pelbagai reformasi rentas sektor dan perancangan mempercepat peralihan ekonomi berasaskan digital dan teknologi termaju termasuk kecerdasan buatan (AI), di samping memastikan manfaat pembangunan diagih secara adil merentas wilayah, kelas sosial dan generasi.

Persidangan bersambung Isnin.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan