WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Sukan SEA Pekak 2025: Azlan Kuste Hadiahkan Emas Pertama Buat Malaysia

22/08/2025 01:48 PM

Daripada Farah Najihah Zuraimi

JAKARTA, 22 Ogos (Bernama) -- Detik penuh bermakna tercipta di Pusat Pelatihan Olahraga Pelajar (PPOP) Ragunan, Jakarta Selatan apabila atlet olahraga negara, Azlan Kuste menghadiahkan pingat emas pertama buat Malaysia pada Sukan Asia Tenggara (SEA) Pekak 2025, di sini hari ini.

Lebih manis, emas itu hadir menerusi acara kegemarannya, 800 meter lelaki, sekali gus mengekalkan status juara bertahan selepas menawan edisi sulung Kuala Lumpur 2022 dengan catatan 2 minit 03.97 saat (s).

Kejayaan itu turut digandakan dengan kehadiran rakan sepasukan, Aidil A. Asyraf Juakim yang menghadiahkan pingat perak buat Malaysia selepas mencatatkan 2:05.21s manakala wakil Brunei, Md Amiruddin Md Zain meraih gangsa (2.12.20s). 

Sorakan semangat kontinjen negara yang berdiri di tepi balapan seakan-akan mengiringi setiap langkah Azlan dan Aidil A. Asyraf menuju ke garisan penamat sebelum mereka mengangkat tangan tinggi tanda kemenangan sebagai simbol permulaan indah buat perjuangan Malaysia di bumi Indonesia.

Edisi kedua SEA Pekak berlangsung hingga 26 Ogos.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan