WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Anak Gajah Sumatera Lahirkan Harapan Baharu Di Taman Nasional Indonesia

22/08/2025 01:58 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 22 Ogos (Bernama) -- Kelahiran seekor anak gajah Sumatera berusia seminggu memberi harapan baharu kepada kelangsungan spesies gajah paling terancam di dunia itu, selepas menunjukkan perkembangan sihat sejak dilahirkan di Taman Nasional Way Kambas, Sumatera.

Anak gajah jantan itu dilahirkan pada 10.55 malam, 15 Ogos waktu tempatan di Pusat Latihan Gajah taman berkenaan, dengan berat 67.3 kilogram. Ia merupakan anak ketiga kepada induk betina berusia 34 tahun bernama Dita.

“Belalainya yang masih kecil dan comel sudah mula belajar berinteraksi dengan persekitaran. Paling penting, dia sentiasa berada di bawah lindungan hangat ibunya,” menurut kenyataan pihak taman.

Pegawai taman memaklumkan kedua-dua ibu dan anak berada dalam keadaan sihat, dengan Dita menerima tambahan vitamin pada Khamis untuk mengekalkan stamina pada awal tempoh penyusuan ini.

Dita juga diberikan makanan tambahan yang kaya dengan khasiat termasuk rumput, kacang panjang, pisang, kelapa dan kacang tanah, manakala anak gajah itu masih tidak dibenarkan dilawati orang ramai bagi membolehkannya berehat dan menyusu dengan sempurna.

“Anak gajah masih memerlukan tidur mencukupi dan penyusuan untuk tumbesaran optimum. Jika terlalu ramai pengunjung datang, rehatnya mungkin terganggu,” tambah kenyataan itu.

Taman yang terletak di wilayah Lampung itu kini menjadi habitat kepada 62 ekor gajah jinak, manakala dianggarkan 160 hingga 180 gajah liar masih berkeliaran di hutan sekitarnya.

Kelahiran ini dianggap sebagai suntikan semangat kepada usaha pemuliharaan gajah Sumatera yang berdepan ancaman serius akibat kehilangan habitat, pemburuan haram dan konflik manusia-hidupan liar.

Ketua Taman Nasional Way Kambas Muhammad Zaidi berkata kelahiran itu adalah berita menggembirakan serta bukti nyata komitmen bersama dalam melindungi gajah Sumatera.

“Kami berharap anak gajah ini membesar dengan sihat dan menjadi sebahagian besar populasi gajah Sumatera pada masa depan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan