WILAYAH - SELATAN > BERITA

RUU Perolehan Kerajaan Beri Kuasa Hukum Pihak Langgar Prosedur Perolehan - Khaled Nordin

24/08/2025 01:10 PM

KOTA TINGGI, 24 Ogos (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Perolehan Kerajaan yang bakal dibentangkan di Parlimen minggu hadapan, akan memperuntukkan tindakan undang-undang terhadap pihak yang gagal mematuhi tatacara serta prosedur perolehan.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata peruntukan baharu itu, akan memberi kuasa perundangan kepada kerajaan untuk mengenakan hukuman ke atas pelanggaran proses perolehan.

“Melalui RUU ini, jika ada pihak melanggar tatasyarat perolehan atau prosedur tender, ia dikira satu kesalahan di bawah undang-undang dan boleh dikenakan hukuman,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan majlis ramah mesra bersama masyarakat Cina di sini.

Khaled berkata RUU itu bukan hanya melibatkan Kementerian Pertahanan, tetapi akan terpakai ke atas semua kementerian dan agensi kerajaan, bagi memastikan proses perolehan dijalankan secara telus dan berakauntabiliti.

Semalam Perdana Menteri Datuk Seri Anwar berkata bahawa sistem perolehan, khususnya dalam sektor pertahanan negara perlu dilaksanakan dengan penuh ketelusan dan bebas daripada sebarang amalan rasuah atau komisen yang boleh membebankan negara.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata sebelum ini, perolehan aset ketenteraan sering menjadi ruang kepada syarikat dan ejen untuk mengaut keuntungan berlebihan sehingga merugikan negara dan melemahkan kekuatan pertahanan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan