WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Lebih RM400 Juta Bina IPK Kelantan Baharu Di Tunjong

24/08/2025 03:35 PM

KOTA BHARU, 24 Ogos (Bernama) -- Polis Kelantan bakal mendapat Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) yang baharu di Tunjong apabila kerajaan meluluskan pembinaan kompleks berkenaan dengan kos dianggar bernilai lebih RM400 juta.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata proses tender sedang dijalankan dan berharap pembinaan dapat dipercepat memandangkan IPK sedia ada yang dibina sejak 1980-an tidak lagi mampu menampung operasi semasa.

“Selain itu, peruntukan sebanyak RM4.5 juta juga diluluskan untuk kerja-kerja pembaikan kuarters dan balai polis di Kelantan, termasuk Ibu Pejabat Daerah Pasir Mas dan beberapa balai lain yang uzur.

“IPK Kelantan juga bakal menerima perolehan kenderaan pengangkut berperisai (APC) bagi kegunaan dan penugasan Pasukan Gerakan Am dalam rondaan di sempadan negara,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan bagi Ogos 2025 di pekarangan IPK Kelantan di sini hari ini.

Tanpa mendedahkan jumlah APC diterima, beliau berkata APC baharu ini lebih selesa dan dilengkapi dengan ciri keselamatan moden termasuk kalis peluru.

Pada Jumaat, media melaporkan Polis Diraja Malaysia menerima empat unit APC bagi memperkukuh pengoperasian dalam menjaga keselamatan negara terutama di sempadan negara.

Perolehannya bernilai RM10.72 juta itu dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) menerusi pembekal Global Komited Sdn Bhd dengan tempoh kontrak 24 bulan bermula 30 Mac 2024 hingga 29 Mac 2026. 

Terdahulu, turut berlangsung majlis serah terima tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan antara Datuk Mohd Nor Yhazid Idris dan SAC Mohd Khairiel Mohd Ariff.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan