WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Karnival Sumud Nusantara ‘Jentik’ Hati Rakyat Hargai Makna Merdeka

24/08/2025 06:34 PM

Oleh Nur Atiq Maisarah Suhaimi

KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) -- Rata-rata pengunjung yang mengunjungi Karnival Sumud Nusantara di Dataran Merdeka hari ini, menyuarakan kesyukuran atas nikmat kemerdekaan dan kedamaian yang dinikmati di negara ini.

Karnival itu menyaksikan rakyat berbilang bangsa dan agama berkumpul atas satu matlamat sama, iaitu bersolidariti untuk rakyat Palestin yang dizalimi. 

Bagi Nityanandhan dari Puchong, penyertaan buat julung-julung kalinya pada himpunan solidariti Palestin membuktikan bahawa isu kemanusiaan merentasi perbezaan bangsa dan agama.

“Syukur negara kita aman damai tapi dalam masa sama, kita juga mahu merasai dan mengenang nasib saudara kita di sana (Palestin) yang dalam kesusahan.

“Program ini bagus … memberikan kesedaran dan menyokong Palestin walaupun kita tak tinggal dekat sana dan kita mesti bersatu walaupun bukan kaum yang sama, agama berlainan tapi mesti sokong sebab ia melibatkan isu kemanusiaan,” katanya ketika ditemui Bernama.

Seorang pengunjung yang hanya mahu dikenali sebagai Azlan tidak dapat menahan sebak apabila melihat pameran mengenai anak-anak Palestin dan seakan-akan merasai penderitaan mereka yang sudah lama tertindas.

"Bagi saya, sebagai rakyat Malaysia, kita harus bersyukur sangat-sangat kerana dapat hidup dalam negara yang aman damai dan merdeka kalau nak dibandingkan dengan saudara-saudara seagama yang di sana.

"Kebanyakan daripada kita tidak mampu untuk turun berjuang bersama, namun sekurang-kurangnya kita menunjukkan dengan bersolidariti dan berhimpun bagi menzahirkan sokongan kita yang tiada hentinya kepada rakyat Gaza,” katanya.

Sementara itu, Mohd Azmil dari Ampang berkata pameran seperti manuskrip dan kunci Al-Aqsa yang dibawa dari Palestin sekali gus memberikan pengalaman baharu buat rakyat Malaysia, khususnya kanak-kanak.

"Kita sebagai orang Islam yang sebelum ini hanya dengar berita mengenai penderitaan rakyat Palestin, tapi di sini kita dapat tunjukkan realiti sebenar kepada anak-anak, sangat bagus sebab ia juga dapat bagi kesedaran kepada pelancong asing yang mungkin kurang pendedahan sebegini di negara mereka mengenai Palestin,” katanya.

Seorang lagi pengunjung, Eric Soon dari Pulau Pinang berkata himpunan itu memberikan pengalaman berharga serta maklumat baharu mengenai situasi di Gaza.

“Pada awalnya saya datang hanya untuk mengunjungi tempat-tempat bersejarah, bila sampai sini terkejut juga bila ada himpunan besar sebegini dan syok juga dapat pengalaman sebegini.

"Himpunan ini bagus dan cukup informatif, banyak informasi yang kita boleh dapat dan untuk tambah baik dan saya harap orang-orang di Gaza dan di Middle East, boleh dapat kehidupan yang lebih bagus serta politik yang lebih diplomatik,” katanya.

Turut berkongsi pandangan, seorang pelancong dari Filipina Renee Espayos yang menyatakan keterujaan apabila berpeluang menyaksikan karnival itu semasa bercuti ke Malaysia. 

"Saya tertarik dengan acara itu, penganjurannya di tempat awam membolehkan orang ramai datang hanya berjalan kaki selain dapat mendedahkan pengunjung menerusi maklumat yang bermanfaat," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan