WILAYAH - SARAWAK > BERITA

AS Sumbang Peralatan Perubatan Perkukuh Perkhidmatan Doktor Udara Sarawak

25/08/2025 03:34 PM

KUCHING, 25 Ogos (Bernama) -- Pasukan Sokongan Awam-Tentera Amerika Syarikat (AS) di Malaysia (CMSE MYS) telah menyumbangkan peralatan pemantauan perubatan kepada Perkhidmatan Doktor Udara Sarawak bagi memperkukuh akses kesihatan di kawasan pedalaman dan komuniti pribumi di negeri itu.

Kedutaan AS di Kuala Lumpur dalam satu kenyataan pada Isnin berkata sumbangan itu, dengan kerjasama pembekal tempatan dan Jabatan Kesihatan Sarawak, merangkumi mesin ultrasound mudah alih, pemekat oksigen mini, beg perubatan khas, bilirubinometer transkutaneus digital, stesen kuasa mudah alih, nebuliser, defibrilator luaran automatik (AED), monitor tanda vital, penimbang digital, termoscan dan kotak sejuk.

“Peralatan penting ini dijangka dapat meningkatkan keupayaan operasi Perkhidmatan Doktor Udara dalam menyampaikan bantuan perubatan ke kawasan yang tidak boleh diakses melalui jalan darat atau sungai,” menurut kenyataan itu.

Peralatan tersebut telah diserahkan oleh Kuasa Usaha di Kedutaan Besar AS Kuala Lumpur David Gamble, kepada Pengarah Kesihatan Sarawak Dr Veronica Lugah dalam satu majlis di Hangar Layang-Layang, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

Sementara itu, Gamble berkata AS berbangga dapat bekerjasama dengan Sarawak untuk meningkatkan akses kesihatan bagi komuniti di pedalaman.

“Sumbangan ini mencerminkan komitmen mendalam kami dalam menyokong kesejahteraan rakyat Sarawak serta memperkukuh hubungan lama antara AS dan Malaysia,” katanya.

Kedutaan itu memaklumkan bahawa sumbangan ini merupakan fasa kedua pakej peralatan perubatan bernilai RM250,000 yang disalurkan kepada Sabah dan Sarawak, sekali gus menegaskan sokongan berterusan AS terhadap daya tahan kesihatan di Malaysia.

Pada 29 Mei lalu, inisiatif serupa telah dijalankan di Kota Kinabalu, apabila Pasukan Sokongan Awam-Tentera AS bekerjasama dengan Perkhidmatan Doktor Udara Sabah untuk menyampaikan peralatan perubatan dan memperkukuh tindak balas kecemasan di kawasan pedalaman negeri itu.

Ditubuhkan pada 1973 di bawah Kementerian Kesihatan, Perkhidmatan Doktor Udara memainkan peranan penting dalam menyampaikan perkhidmatan kesihatan ke kawasan pedalaman Sarawak serta menyediakan pengangkutan kecemasan pesakit di seluruh Malaysia Timur.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan