WILAYAH - UTARA > BERITA

PGA Rampas 10kg Ketulan Mampat Disyaki Ganja Bernilai RM300,000

26/08/2025 11:53 AM

KANGAR, 26 Ogos (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya merampas 10 kilogram (kg) ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja dianggarkan bernilai RM300,000 di Padang Besar semalam.

Komander Briged Utara PGA SAC Shahrum Hashim berkata rampasan dadah itu dibuat semasa PGA Ulu Kinta, Perak melakukan rondaan pemantauan risikan di Kaki Bukit menghala ke Wang Kelian, Padang Besar pada 12.45 tengah malam menerusi operasi risikan Op Taring Wawasan Kedah/Perlis.

“Pasukan operasi itu telah melihat sebuah kenderaan Toyota Vios warna hitam berada di bahu jalan dalam keadaan mencurigakan. Semasa pasukan operasi menghampiri, kenderaan itu bertindak memecut laju melarikan diri ke arah Kaki Bukit. 

“Pasukan operasi bertindak mengejar kenderaan itu, namun tidak berjaya. Pemeriksaan lanjut di sekitar kawasan semak di bahu jalan telah menjumpai satu guni berwarna putih di dalamnya mengandungi 10 ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja anggaran berat 10kg,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahrum berkata kesemua rampasan itu diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar dan kes disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, beliau berkata Briged Utara PGA membuat rampasan disyaki dadah jenis ganja dengan anggaran berat 60.4kg bernilai RM1,812,000 serta berjaya menangkap empat lelaki warga asing di kawasan sempadan Malaysia-Thailand bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan