WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Bukit Dinding, Pulai Trail Dicadang Jadi Hutan Simpan Kekal Baharu Di KL

26/08/2025 12:13 PM

KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Jabatan Perhutanan Wilayah Persekutuan sedang dalam usaha mewartakan kawasan Bukit Dinding di Wangsa Maju dan Pulai Trail di Bangsar sebagai hutan simpan kekal yang baharu di ibu negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata permohonan pewartaan Bukit Dinding berkeluasan 20.57 hektar telah dipertimbangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Tanah pada Mac lepas.

“Permohonan pewartaan Pulai Trail seluas lima hektar pula dikemukakan pada Mei lepas dan kini dalam penilaian Pejabat Tanah dan Galian Perhutanan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PTGWPKL),” katanya ketika menjawab soalan tambahan Young Syefura Othman (PH-Bentong) pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Young Syefura Othman (PH-Bentong) sama ada kementerian mempunyai perancangan khusus menambah keluasan hutan di Kuala Lumpur bagi meningkatkan kualiti udara dan kesejahteraan rakyat.

Dr Zaliha berkata cadangan pewartaan Bukit Dinding dan Pulai Trail itu sebagai tambahan kepada pewartaan terakhir hutan simpan kekal di Kuala Lumpur iaitu Hutan Simpan Sungai Besi pada 2021.

Sementara itu, beliau berkata cadangan meletakkan moratorium ke atas projek kediaman di ibu negara mempunyai beberapa implikasi negatif, termasuk penurunan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Kuala Lumpur yang banyak bergantung pada sektor pembinaan dan perkhidmatan hartanah.

“Ia juga akan menjejaskan kutipan hasil Dewan Bandaraya Kuala Lumpur daripada fi pembangunan, selain menyebabkan harga hartanah dan kadar sewa meningkat sekali gus mendorong perpindahan keluar penduduk khususnya golongan B40 dan M40,” katanya.

Bagaimanapun, Dr Zaliha mengakui keperluan menilai semula keseimbangan antara pembangunan fizikal dan daya tampung bandar, terutama dari segi kapasiti infrastruktur, perumahan mampu milik, kemampuan alam sekitar serta kualiti hidup penduduk.

Beliau menjawab soalan asal Young Syefura berhubung cadangan moratorium projek kediaman di Kuala Lumpur, susulan laporan Jabatan Perangkaan yang mengunjurkan bandar raya ini mencapai tahap kemuncak penduduk pada 2031, iaitu 28 tahun lebih awal daripada unjuran nasional.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan