WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Keuntungan Bersih Suku Kedua 2025 Public Bank Susut Sedikit Kepada RM1.76 Bilion

26/08/2025 03:23 PM

KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Public Bank Bhd mencatatkan keuntungan bersih lebih rendah sedikit sebanyak RM1.76 bilion bagi suku kedua berakhir 30 Jun, 2025, berbanding RM1.78 bilion yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Ini berikutan kesan pendapatan tidak bercukai yang lebih rendah pada tahun semasa, kata kumpulan perbankan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

Bagaimanapun, perolehan meningkat kepada RM7.35 bilion bagi suku tersebut berbanding RM6.69 bilion yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Bagi suku tersebut juga, pendapatan faedah bersih dan perbankan Islam meningkat sebanyak RM138.6 juta atau 5.1 peratus berikutan pertumbuhan kukuh pinjaman atau pembiayaan manakala pendapatan bukan faedah naik sebanyak RM103.3 juta atau 15.3 peratus.

“Kenaikan ini disokong oleh sumbangan pendapatan daripada perniagaan insurans am yang diambil alih baru-baru ini dan pendapatan pelaburan yang lebih tinggi.

"Peningkatan prestasi perolehan itu sebahagiannya diimbangi oleh perbelanjaan operasi lain yang lebih tinggi sebanyak RM100.1 juta berikutan kos kakitangan dan pentadbiran yang lebih tinggi," kata Public Bank.

Bagi tempoh enam bulan pertama, kumpulan perbankan itu merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM3.50 bilion dengan perolehan RM14.66 bilion, disokong oleh pertumbuhan kukuh pinjaman dan deposit pelanggan.

Sementara itu, dalam satu kenyataan berasingan, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank Tan Sri Tay Ah Lek berkata walaupun bank itu berdepan beberapa masalah, model perniagaan berdaya tahan dan pengurusan berhematnya berjaya membantu kumpulan mengharungi cabaran tersebut.

"Perniagaan teras kumpulan terus mencatatkan prestasi yang membanggakan, dengan pulangan ke atas ekuiti berada pada 12.6 peratus, manakala pengurusan kos kekal berhemat dengan nisbah kos kepada pendapatan yang cekap sebanyak 35.3 peratus," katanya.

Susulan prestasi baik bagi tempoh separuh pertama 2025, Public Bank mengisytiharkan dividen interim sebanyak 10.5 sen sesaham, berjumlah RM2.04 bilion, yang mewakili nisbah pembayaran sebanyak 58.1 peratus daripada keuntungan bersih kumpulan Public Bank bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2025.

Bagi tempoh separuh pertama 2025, jumlah pinjaman meningkat pada kadar tahunan 5.1 peratus.

Pinjaman domestik tahunan berkembang pada kadar lebih kukuh sebanyak 6.1 peratus, lebih tinggi daripada kadar pertumbuhan pinjaman tahunan industri perbankan domestik sebanyak 4.3 peratus.

"Pertumbuhan pinjaman domestik kumpulan Public Bank disumbangkan terutamanya oleh aktiviti pinjaman utama dalam segmen perbankan runcit, iaitu pembiayaan hartanah kediaman, pembiayaan sewa beli dan pembiayaan hartanah komersial, yang masing-masing meningkat pada kadar tahunan 5.3 peratus, 13.4 peratus dan 6.0 peratus.

"Segmen utama ini terus menguasai bahagian pasaran yang kukuh masing-masing sebanyak 20.1 peratus, 32.9 peratus dan 32.0 peratus," kata bank itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan