WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Penyahsenaraian FGV Bolehkan Felda Tumpu Pulangan Bagi Peneroka, Nilai Pegangan Saham

27/08/2025 01:08 PM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) – Langkah penyahsenaraian FGV Holdings Bhd daripada Bursa Malaysia esok, memberi peluang lebih besar kepada salah satu pengeluar minyak sawit terbesar dunia itu melaksanakan strategi, termasuk menumpukan usaha menjana pulangan lebih menarik kepada peneroka selain nilai bagi pemegang sahamnya.

Ini sekali gus menoktahkan episod perjalanan korporat syarikat itu selepas disenaraikan pada 2012 dan susulan daripada kejayaan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dalam usaha penstrukturan semulanya.

Kumpulan itu bagaimanapun kekal beroperasi di tujuh negara serata Asia, Eropah dan Amerika Utara.

Segmen teras perniagaannya merangkumi perladangan, minyak dan lelemak, gula, logistik dan sokongan dan produk pengguna serta penternakan bersepadu yang secara kolektif disokong oleh lebih 51,000 pekerja.

Apa yang pasti, penyahsenaraian itu menjadi perkembangan penting selepas Felda mencapai pemilikan melebihi 92 peratus saham dalam FGV, sekali gus melepasi nilai ambang diperlukan bagi Tawaran Pengambilalihan Sukarela Tanpa Syarat (VTO).

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada awal bulan ini berkata penyahsenaraian itu akan membolehkan Felda menentukan sendiri arah hala tuju serta mengutamakan kepentingan serta kesejahteraan para penerokanya.

Sebelum langkah itu, saham-saham FGV yang sebelum ini dikenali sebagai Felda Global Ventures Bhd, telah digantung dagangannya pada 25 Ogos 2025, sebagai persiapan bagi penyahsenaraian berkenaan.

Dalam kenyataannya pada minggu lepas, syarikat itu berkata penstrukturan berkenaan membolehkan Felda serta koperasi dan peneroka memberi tumpuan penuh ke atas matlamat asal agensi itu bagi melindungi hak, pulangan serta kepentingan para peneroka.

Penyahsenaraian itu dilihat sebagai mengakhiri 13 tahun perjalanan korporatnya sebagai sebuah syarikat tersenarai, sejak kemunculan pertama di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 28 Jun 2012 dengan mencatat harga RM4.55.

FGV memulakan kehadirannya dengan sebegitu cemerlang apabila meraih premium sebanyak 84 sen pada RM5.39 dengan harganya mencecah paras tinggi pada RM5.46 atau peningkatan sebanyak 20 peratus atau premium 91 sen berbanding harga tawaran RM4.55 selain paras rendah pada RM5.24.

Penyahsenaraian itu turut melakar sejarah tersendiri sebagai tawaran awam permulaan (IPO) kedua terbesar dunia pada masa itu selepas penyenaraian Facebook Inc yang mencecah US$16 bilion.

Sudah semestinya pencapaian itu bukan setakat menarik perhatian global, malah turut menjadi satu pencapaian bermakna bagi Malaysia.

Lebih menarik, ini turut menjadi catatan atau detik manis bagi peneroka Felda sendiri yang berpeluang meraih manfaat daripada keuntungan yang dijana daripada langkah itu.

Kemampuan mencatat kemunculan pertama yang hebat itu juga berlaku ketika beberapa IPO profil tinggi global seperti rancangan penyenaraian Formula Satu di Singapura yang kemudiannya tertangguh dan IPO US$1 bilion Graff Diamond di London yang kemudiannya dibatalkan.

Tidak kurang hebatnya dan menjadi bukti sokongan kukuh pelabur adalah bahagian awam IPO yang menerima sejumlah 58,526 permohonan bagi 565.40 juta saham dengan kadar lebihan langganan sebanyak 6.75 kali.

Langkah penyahsenaraian dan penstrukturan semula itu akan menyaksikan FGV sebagai entiti persendirian di bawah Felda yang memegang 94.97 peratus kepentingan dalam terbitan saham FGV dan melepasi nilai ambang 90 peratus yang diperlukan bagi pengambilalihan wajib dan penyahsenaraian.

Jika diimbau, pada 29 Julai lepas, Felda telah memperoleh sejumlah 3.35 bilion saham atau 91.73 peratus daripada jumlah keseluruhan saham terbitan FGV setakat jam 5 petang hari berkenaan.

Berikutan itu pada 15 Ogos 2025, FGV telah bertindak menghantar permohonan bagi dinyahsenarai daripada Pasaran Utama Bursa Malaysia dengan detik dagangan sahamnya di pasaran awam berakhir pada 22 Ogos 2025.

Dagangan akhirnya mencatat harga RM1.30 sesaham dengan sejumlah 2.76 juta saham saling bertukar tangan.

Susulan penyahsenaraian itu, pemegang minoriti sahamnya yang belum menerima tawaran pengambilalihan Felda, berkemungkinan masih tertakluk kepada pengambilalihan secara mandatori yang membolehkan Felda mencatat hampir 100 peratus pegangan ekuiti dalam FGV.

Pada masa ini, FGV merupakan antara kelompok pengeluar minyak sawit mentah (MSM) terbesar dunia, menyumbang kira-kira tiga peratus kepada pengeluaran global dan 14 peratus bagi jumlah keseluruhan pengeluaran Malaysia.

Untuk rekod, Felda telah melancarkan langkah penstrukturan semula pada 26 Mei lepas dengan menawarkan RM1.30 sen sesaham -- harga sama ketika melakukan cubaan awal penstrukturan semula itu pada 2020.

Menurut Felda, langkah itu dijangka meningkatkan lagi kecekapan operasi FGV dengan penjajaran semula struktur organisasi Felda dan FGV dalam usaha mengurangkan pertindihan fungsi bagi kemajuan masa depan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan