WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Sime Darby Motors Sasar Kerugian Berakhir Pada TK2026

27/08/2025 07:26 PM

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Sime Darby Motors Sdn Bhd menjangkakan kerugian dialaminya akan berakhir pada tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2026 (TK2026), didorong oleh langkah-angkah konsolidasi atau penyusunan semula cawangan di China.

Pengarah Urusan Andrew Basham berkata BMW turut memberi sokongan tambahan kepada beberapa pengedar BMW yang dikendalikan oleh Sime Darby Motors di China.

Beliau berkata syarikat itu telah mengurangkan pendedahan berkaitan kenderaan bukan BMW di China dengan menutup 15 cawangan setakat ini selain merancang penutupan enam lagi premis seumpamanya menjelang April 2026 dan mengekalkan lapan cawangan yang mengendalikan jenama Volvo, Genesis dan Kia.

Daripada 22 pengedar BMW kendalian syarikat itu di China, sebanyak 13 cawangan lama mencatatkan keuntungan manakala sembilan cawangan baharu masih dalam proses membina pangkalan pelanggan masing-masing.

“BMW telah menyediakan beberapa subsidi tambahan dan kami percaya keadaan akan bertambah baik dari tempoh bulan ke bulan. Kami telah mengatasi  sebahagian besar masalah, dan yakin bahawa kami boleh menghentikan kerugian pada tahun kewangan 2026,” katanya pada sidang media mengenai prestasi kewangan Sime Darby Bhd bagi TK2025 di sini, hari ini.

Majlis itu turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby Bhd Datuk Jeffri Salim Davidson, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Sime Darby Muhammad Noor Abd Aziz dan Pengarah Urusan bagi UMW Datuk Mustamir Mohamad.

Sime Darby Motors adalah cabang automotif Sime Darby dan merupakan pengedar tunggal Malaysia bagi jenama BMW di China.

Sementara itu, Jeffri berkata keadaan pasaran bagi industri auto sememangnya sukar, terutama di China dan Sime Darby berharap langkah-langkah dilaksanakan kerajaan China, termasuk pengurusan pengeluaran dan pengurangan harga oleh jenama automotif tempatan, dapat membantu menstabilkan pasaran automotif negara itu.

Menyentuh pasaran automotif tempatan, Mustamir menjangkakan jumlah jualan keseluruhan industri (TIV) dijangka dalam lingkungan 790,000 hingga 800,000 unit pada 2025 dengan jumlah jualan bagi segmen pertengahan dan pasaran massa dijangka kekal stabil.

“Perkembangan positif mengenai industri automotif tempatan itu masih ada. Jika dilihat peningkatan gaji minimum dan juga kenaikan gaji penjawat awam, kami sendiri menjangkakan berlakunya peningkatan berterusan dari segi jumlah jualan, terutama bagi segmen pasaran massa serta peringkat pertengahan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan