WILAYAH - SARAWAK > BERITA

RUU Pembaharuan Semula Bandar: KPKT Lakukan Pindaan Termasuk Nilai Ambang Persetujuan

28/08/2025 07:11 PM

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan melakukan pindaan terhadap Rang Undang-undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) termasuk berhubung nilai ambang persetujuan untuk menyertai projek pembaharuan semula bandar.

Menteri berkenaan Nga Kor Ming berkata pindaan pada Fasal 19 itu bagi menghormati dan menyantuni pandangan Jawatankuasa Pilihan Khas Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi Dewan Rakyat melalui sesi perbincangan khas pada 21 Ogos lepas.

Beliau berkata kesemua nilai ambang itu diseragamkan ke paras 80 peratus tanpa mengira usia bangunan dengan kenaikan nilai daripada 75 peratus masih dalam lingkungan yang wajar untuk memberikan ruang pertimbangan bagi melaksanakan projek pembaharuan semula bandar secara berintegriti dan adil untuk pihak terlibat.

“Di samping itu, kita mengambil kira isu hak milik dalam kalangan 20 peratus penduduk antaranya isu hak milik yang dicagar atau digadai bagi pembiayaan kewangan atau seumpamanya, isu hak milik yang mengalami Non-Performing Loan (NPL) daripada institusi kewangan, isu suratan hak milik yang belum atau tidak dikeluarkan kepada pembeli serta isu pemilik asal tidak dapat dikesan,” katanya.

Nga berkata demikian ketika membentangkan RUU berkenaan bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini.

Bagaimanapun, RUU itu tidak dibahaskan pada sidang kali ini dan akan dibawa ke sesi akan datang.

Nga berkata KPKT juga akan meminda Fasal 18 berhubung laporan cadangan pelaksanaan pembaharuan semula bandar.

Beliau berkata pindaan itu akan memastikan maklumat demografi setempat di sesuatu kawasan projek pembaharuan semula bandar diambil kira oleh Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan dan Negeri supaya diuruskan dengan teratur bagi mengelak perubahan komposisi penduduk setempat yang drastik. 

“KPKT cakna dengan keresahan ramai pihak berkaitan komposisi penduduk di satu-satu kawasan yang terlibat dengan pembaharuan semula bandar. Lanjutan itu, KPKT akan meminda Fasal ini sewajarnya bagi menjamin demografi di kawasan terlibat, tertakluk perincian yang akan dibincangkan bersama dengan Jabatan Peguam Negara,” katanya.

Nga berkata penggubalan RUU itu melalui proses yang telus termasuk kelulusan Garis Panduan Pelaksanaan Pembaharuan Semula Bandar (GPP PSB) pada 2023, persetujuan Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT), serta beberapa sesi dengan Jawatankuasa Pilihan Khas Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi.

Mengulas lanjut, beliau berkata cadangan kawasan yang dikenal pasti untuk pelaksanaan pembaharuan semula bandar juga datang daripada pihak berkuasa negeri dan diwartakan oleh kerajaan negeri sendiri, bukan oleh kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia).

Sebagai contoh katanya, kerajaan Terengganu telah mengenal pasti 22 tapak, manakala kerajaan Kedah mempunyai 55 tapak yang berpotensi untuk pelaksanaan pembaharuan semula bandar.

Nga berkata penyegaran bangunan dan utiliti penting memandangkan jangka hayat infrastruktur dan utiliti atau kemudahan yang ada di bangunan seperti lif, tangki air, sistem pendawaian elektrik, sistem retikulasi perpaipan, sistem kumbahan najis dan sistem bekalan gas akan semakin merosot mengikut peredaran masa.

Beliau berkata kemerosotan kualiti infrastruktur dan utiliti dalaman bangunan itu akan menjadi semakin kritikal sekiranya menghadapi masalah perbadanan pengurusan yang lemah dan gagal melaksanakan penyelenggaraan dengan baik, termasuk bangunan yang usianya masih baharu.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan