WILAYAH - SARAWAK > BERITA

55 Kes Simpanan Arak Haram Di Rumah Dikesan Melibatkan Cukai RM4.02 Juta Tahun Ini

29/08/2025 12:13 AM

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) membuat serbuan terhadap 55 kes penyimpanan minuman keras tidak berkastam di kediaman persendirian di seluruh negara dari Januari hingga Julai tahun ini, melibatkan nilai rampasan sebanyak RM1.42 juta.

JKDM dalam kenyataan malam ini memaklumkan anggaran cukai yang terlibat berjumlah RM4.02 juta.

Menurut kenyataan itu meskipun orang ramai dibenarkan menyimpan minuman keras di rumah bagi kegunaan persendirian tanpa memerlukan sebarang lesen, namun minuman yang diperolehi itu perlu dipastikan telah dibayar cukai.

“Sekiranya orang awam membeli minuman keras yang telah dibayar cukai dan melalui pembelian yang sah, tidak ada keperluan untuk menyimpan rekod. Keperluan untuk menyimpan rekod 7 tahun, terpakai bagi orang berlesen atau pengimport dan pengeksport.

“Dalam konteks bilangan botol minuman keras yang dibenarkan untuk disimpan sebagai kegunaan persendirian, JKDM menegaskan bahawa tiada had bilangan minuman keras yang ditetapkan di bawah undang-undang tadbiran JKDM,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu tindakan penguatkuasaan seperti serbuan tidak dilakukan sewenang-wenangnya, sebaliknya berdasarkan maklumat risikan atau aduan awam yang memberikan sebab munasabah untuk mengesyaki berlakunya pelanggaran undang-undang.

“Terdapat penemuan kes-kes di mana individu menyimpan stok minuman keras di rumah bagi tujuan perniagaan. Hasil siasatan yang dilakukan oleh JKDM telah mengesahkan bahawa duti atau cukai ke atas minuman keras tersebut telah dibuktikan tidak dibayar,” menurut kenyataan itu.

Menurut JKDM,  tindakan penguatkuasaan terhadap penyimpanan minuman keras tanpa cukai itu dilakukan mengikut Akta Eksais 1976  dan Akta Kastam 1967.

Dalam pada itu, JKDM telah merekodkan sejumlah 599 kes rampasan minuman keras tidak berkastam, dengan nilai rampasan berjumlah RM24.29 juta dan jumlah cukai yang terlibat sebanyak RM62.62 juta.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan