WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Malaysia Muncul Pasaran Ketiga Terbesar, Sumbang 20 Peratus Kepada Hasil Kumpulan IHH

28/08/2025 08:09 PM

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Malaysia menyumbang kira-kira 17 hingga 20 peratus kepada keseluruhan hasil IHH Healthcare, kata Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan itu Dilip Kadambi.

Beliau berkata Malaysia merupakan pasaran ketiga terbesar syarikat itu selepas Singapura dan Türkiye/Eropah Timur, mencerminkan sumbangan kukuh negara itu kepada prestasi keseluruhan kumpulan.

“Kami menyaksikan pertumbuhan kukuh dalam keperluan penjagaan kesihatan di Malaysia apabila pasaran beralih daripada didominasi oleh penjagaan pesakit dalam di hospital kepada gabungan perkhidmatan primer, ambulatori dan pesakit dalam.

“Peralihan ini akan menyokong pertumbuhan jangka panjang, khususnya apabila populasi bertambah dan pendapatan meningkat,” katanya pada sidang media selepas pelancaran penjenamaan semula IHH di sini, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Dr Prem Kumar Nair yang sependapat dengan Dilip berkata Malaysia kekal berdaya saing di rantau ini melalui perkhidmatan penjagaan kesihatan yang kos efektif, sekali gus menarik lebih ramai pesakit asing.

“Beberapa doktor kanan termasuk daripada sektor awam menekankan bahawa semasa sesi perbincangan panel menunjukkan penjagaan kesihatan di Malaysia adalah sangat kos efektif.

“Inilah salah satu sebab mengapa Malaysia kini menjadi destinasi pilihan pelancongan perubatan, menarik pesakit yang sebelum ini mungkin memilih ke Singapura atau Thailand,” katanya.

Beliau berkata penjagaan kesihatan swasta tidak boleh bergantung kepada kenaikan harga secara berterusan, sebaliknya menekankan bahawa kawalan kos sebaiknya merangkumi langkah-langkah seperti pakej yang digabungkan, prosedur ambulatori dan perolehan peralatan perubatan di peringkat berkumpulan.

“Perolehan secara berkumpulan membolehkan kami berunding harga yang lebih baik untuk peralatan seperti pengimejan resonans magnetik (MRI), imbasan tomografi berkomputer (CT scan) dan mesin radioterapi,” katanya.

Terdahulu, IHH melancarkan identiti korporat baharu yang bertujuan menyatukan rangkaian hospital dan mengukuhkan kedudukannya dalam sektor penjagaan kesihatan. Ia turut memperkenalkan slogan baharu, “Care. For Good” bagi mencerminkan hala tuju terkininya.

Bersempena dengan penjenamaan semula itu, IHH menganjurkan persidangan kepimpinan FutureHealth.Now yang julung kali diadakan, menghimpunkan lebih 300 pemimpin sektor penjagaan kesihatan, kerajaan dan perniagaan untuk membincangkan masa depan penjagaan kesihatan.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan