KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan Naib Presiden DAP Teo Nie Ching dibayar ganti rugi RM200,000 selepas membenarkan samannya terhadap bekas wartawan Datuk Yazid Othman.
Teo dalam hantaran Facebook berkata Hakim Alice Loke Yee Ching memutuskan bahawa Yazid telah memfitnah beliau dalam sebuah forum pada 26 Feb, 2021 bertajuk “Buku Teks Sejarah Dimanipulasi - Komunis Pula Diagungkan.”
“Hakim Mahkamah Tinggi membenarkan saman saya dan memberikan tuntutan RM200,000 dengan faedah lima peratus setahun ke atas jumlah RM200,000 dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh, serta kos RM30,000," kata Teo.
Ahli Parlimen Kulai itu berkata dalam ringkasan alasan penghakiman yang disampaikan di mahkamah terbuka hari ini, hakim mendapati unsur-unsur fitnah telah dibuktikan dan Yazid gagal untuk membuktikan justifikasi, ulasan yang adil dan keistimewaan bersyarat pembelaan
"Hakim juga mendapati terdapat niat jahat dalam kenyataan Yazid terhadap saya," kata Timbalan Menteri Komunikasi itu.
Teo memfailkan saman sivil terhadap Yazid di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Menurut Teo, forum itu disiarkan secara langsung di beberapa platform media sosial ketika Yazid memegang jawatan Timbalan Pengerusi NGO Sekretariat Tolak Buku Teks Sejarah Tingkatan Empat (BST4).
Beliau berkata Yazid, antara lain, mendakwanya telah mengarahkan pegawai kerajaan mengubah buku teks Sejarah Tingkatan 4 yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi "mempromosikan dan menghebahkan perjuangan komunis".
Dakwaan tersebut dibuat semasa beliau memegang jawatan Timbalan Menteri Pendidikan dari 2018 hingga 2020.
Menurut Teo beliau menyambut baik keputusan itu.
"Saya telah membersihkan nama saya daripada dakwaan yang tidak wajar ini. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada peguam saya Syahredzan Johan dan Amanda Wong Yoke Ting atas bantuan mereka," tambahnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial