KOTA KINABALU, 28 Ogos (Bernama) -- Sabah FC bertekad memburu kemenangan sulung Liga Super apabila melayan kunjungan Melaka FC di Stadium Likas di sini, malam esok.
Ketua jurulatih Jean-Paul de Marigny berkata persiapan rapi dilakukan dengan memberi penekanan kepada ketajaman penyudah selepas hanya meraih dua keputusan seri setakat ini.
“Dari segi mental dan fizikal, pemain berada pada tahap terbaik. Minggu ini latihan lebih tertumpu kepada ketepatan hantaran serta larian ke ruang untuk memperkemaskan serangan,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Setakat ini, Sabah FC mengutip dua mata hasil seri 1-1 dengan Kuala Lumpur City FC dan 0-0 menentang Kelantan The Red Warriors, sekali gus berada di tangga kesembilan liga.
De Marigny memuji komitmen barisan pertahanan yang konsisten, namun menegaskan aspek penyudah perlu dipertajamkan bagi memastikan setiap peluang yang terhidang dapat disempurnakan.
“Pertahanan kita beraksi baik musim ini, tetapi kami perlu lebih klinikal di hadapan gol. Keyakinan dan penyudah tajam akan jadi kunci kemenangan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penyokong The Rhinos yang sentiasa memberi sokongan, menyifatkan kehadiran mereka sebagai suntikan semangat buat pasukan.
"Sokongan padu penyokong di Stadium Likas amat kami hargai. Ia menjadi tanggungjawab kami untuk membalas kepercayaan itu dengan aksi terbaik," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial