WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Malaysia Perlu Beralih Kepada Model "Made By Malaysia" Untuk Kekalkan Pertumbuhan - Steven Sim

29/08/2025 12:07 AM

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) --  Malaysia perlu beralih daripada model ekonomi “made in Malaysia” kepada “made by Malaysia” untuk mengekalkan pertumbuhan dan kekal berdaya saing di tengah-tengah peningkatan perlindungan perdagangan global dan persaingan ekonomi yang sengit, kata Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong.

Sehubungan itu, beliau berkata tumpuan kerajaan MADANI di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) adalah untuk membina keupayaan tempatan dalam industri berteknologi tinggi, berpotensi tinggi dan bernilai tinggi seperti semikonduktor, kecerdasan buatan dan perkhidmatan bernilai tinggi.

“Satu komponen penting dalam ucapan Perdana Menteri yang mungkin ramai terlepas pandang, kerana kita semua tertumpu kepada angka RM611 bilion, segala statistik dan nombor-nombor ialah aspirasi Perdana Menteri untuk membawa kita daripada model ekonomi buatan Malaysia kepada model ekonomi dibuat oleh Malaysia dengan kita menumpukan kepada sektor bernilai tinggi dan usahawan tempatan seperti anda semua,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Anugerah Perniagaan Pinnacle of Success di sini hari ini, yang turut dihadiri Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah anakanda ketiga kepada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah.

Sim berkata model pertumbuhan Malaysia sebelum ini mungkin tidak mencukupi untuk menjamin daya tahan ekonomi jangka panjang dalam menghadapi cabaran global seperti sekatan perdagangan, tarif dan persaingan geopolitik.

Beliau berkata Malaysia mesti bergerak melangkaui kebergantungan terhadap status sebagai destinasi pelaburan kos rendah dan beralih daripada model “beli murah dan jual murah” kepada model yang berpusat pada pembangunan nilai serta inovasi tempatan.

“Saya panggilnya 4T. Kita perlukan 4T tempatan. T yang pertama ialah bakat (talent). T kedua ialah teknologi. T ketiga ialah barangan (things), iaitu produk dan perkhidmatan. Dan T keempat ialah cap dagangan kita (trade mark), jenama kita, paten kita, identiti kita,” katanya.

Sim berkata kejayaan ekonomi yang mampan, memerlukan model perniagaan yang lebih berpusatkan manusia dan berperikemanusiaan, yang mengutamakan kebajikan pekerja, rakyat, alam sekitar serta masyarakat secara keseluruhan.

Di bawah RMK13, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan unjuran peruntukan sehingga RM611 bilion daripada kerajaan dan sektor swasta dalam tempoh lima tahun akan datang, dengan sasaran untuk mewujudkan sekurang-kurangnya 1.2 juta pekerjaan berkemahiran tinggi dan berpendapatan tinggi, serta mencapai pendapatan per kapita negara sebanyak RM77,000.

Sim berkata Malaysia telah menunjukkan kemajuan yang menggalakkan, termasuk peningkatan dalam kedudukan daya saing global dan pertumbuhan ekonomi yang stabil walaupun berdepan pelbagai krisis global, namun, beliau memberi amaran bahawa negara mesti terus berinovasi bagi mengelakkan kemelesetan ekonomi.

“Hari ini anda berada di kemuncak kejayaan. Tetapi jika ini adalah kemuncaknya, maka langkah seterusnya ialah menurun. Saya percaya kita semua tidak mahukannya. Jadi, bagaimana kita boleh terus bergerak dari satu puncak ke puncak yang lebih tinggi dalam tempoh 50 tahun akan datang? Kita perlu berubah,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan