WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Merdeka Dan Sejahtera: Jangka Hayat Rakyat Semakin Meningkat

02/09/2025 02:33 PM

KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) --  Seorang bayi lelaki yang lahir pada tahun 1957 dijangka hidup sekitar 55.8 tahun, manakala bayi perempuan sekitar 58.2 tahun. Itulah kadar kematian bayi pada tahun Malaya mencapai kemerdekaan.

Menjelang 2024, angka tersebut meningkat dengan ketara: seorang bayi lelaki dijangka hidup sekitar 73 tahun, manakala bayi perempuan sekitar 77.8 tahun, menurut data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Jurang jangka hayat antara lelaki dan perempuan kekal konsisten, dengan perempuan secara purata hidup beberapa tahun lebih lama.

(Jangka hayat ketika lahir merujuk kepada purata bilangan tahun yang dijangka dapat dilalui oleh seorang bayi sekiranya kadar kematian pada setiap peringkat umur kekal sama seperti hari ini.)

Peningkatan mendadak dalam beberapa dekad awal selepas kemerdekaan bukan sahaja pesat, malah signifikan dari sudut sejarah.

Satu kajian pada 1984 dalam Journal of Public Health Policy menyatakan bahawa antara 1957 hingga 1976, jangka hayat keseluruhan di Malaysia meningkat daripada 57 kepada 69 tahun. Malaysia mencapai kemajuan ini dalam tempoh hanya 20 tahun, berbanding Amerika Syarikat yang mengambil masa 27 tahun (1915 hingga 1941) untuk mencapai peningkatan yang serupa.

Perkhidmatan kesihatan yang lebih baik, program vaksinasi, pemakanan yang lebih berkhasiat, dan dasar kesihatan awam yang progresif kesemuanya telah menyumbang kepada jangka hayat yang lebih panjang. Ini sesuatu yang terus dinikmati rakyat Malaysia hingga hari ini.

Walaupun begitu, peningkatan jangka hayat tidak semestinya bermaksud kehidupan yang semakin sihat.

Satu kajian pada 2024 mendapati bahawa walaupun semakin ramai rakyat Malaysia berusia 60 tahun mampu hidup sehingga 20 tahun lagi, ia tidak meyumbang kepada perubahan ketara dalam kualiti kesihatan di usia senja. Penyakit tidak berjangkit kini menyumbang kepada 72 peratus kematian pramatang, mencerminkan cabaran baharu yang datang bersama penuaan.

Namun, sejarah kesihatan Malaysia membuktikan bahawa perubahan besar mampu dicapai dalam hanya satu generasi. Cabaran kini adalah memastikan usia panjang yang dikecapi turut disertai kualiti hidup yang baik, supaya rakyat menua bukan sekadar lebih lama, tetapi dengan lebih bermakna.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan