WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Ritual Kuda Kepang: Tiga Lelaki Dipenjara Sebulan, Denda RM2,000

02/09/2025 03:32 PM

BATU PAHAT, 2 Sept (Bernama) -- Tiga lelaki dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Syariah di sini hari ini atas pertuduhan terbabit dalam upacara pemujaan dikaitkan dengan video tular bertajuk “Show Puja Jin Batu Pahat” menggunakan tarian kuda kepang di Parit Raja di sini bulan lepas.

Hakim Syarie Syazwan Mohd Yusof menjatuhi hukuman tersebut selepas mendengar dan menerima pengakuan bersalah ketiga-tiga tertuduh Muhammad Suhail Suttrysono, 35, Azman Mohamed Seh, 45, dan Anuar Bandi, 40, sebaik pertuduhan dibacakan semula.

Mahkamah turut memerintahkan ketiga-tiga mereka dipenjara 14 hari sekiranya gagal membayar denda serta menjalani pemantauan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) selama enam bulan selepas tamat tempoh hukuman penjara.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Suhail yang bekerja sebagai pengawal keselamatan didakwa melakukan upacara pemujaan mengikut Seksyen 3 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997, yang jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM3,000 atau penjara hingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Azman dan Anuar yang bekerja sebagai mekanik pula didakwa bersubahat dalam upacara berkenaan dengan memainkan muzik gendang, mengikut Seksyen 43(b) enakmen sama yang membawa hukuman setara dengan kesalahan utama.

Ketiga-tiga mereka didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan lapang sebuah rumah di Jalan Pasar, Parit Raja antara 10 malam hingga 1 pagi, 10 Ogos lepas.

Pendakwaan dikendalikan pendakwa syarie Batu Pahat Ummu Salamah Sukayat manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, tular video berdurasi satu minit di media sosial memaparkan upacara dipercayai berkaitan tarian kuda kepang yang dikaitkan dengan amalan pemujaan di Batu Pahat sekali gus mencetuskan kegusaran masyarakat.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan